Pintu gerbang jalan ke Istana Seri Menanti di Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JULAI 2026.

SERI MENANTI – Pemenang kerusi DUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu pada pukul 11 pagi ini di Istana Besar Seri Menanti.

MalaysiaGazette difahamkan daripada sumber tertinggi parti Ismail, yang berpindah daripada DUN Senaling untuk bertanding di Juasseh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, untuk menerajui pentadbiran negeri.

Menurut sumber sama, istiadat mengangkat sumpah jawatan dijadual berlangsung pada pukul 11 pagi ini di Istana Besar Seri Menanti.

Datuk Ismail Lasim

Terdahulu, Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Istana Hinggap lewat malam tadi bagi mempersembahkan tiga nama calon Menteri Besar untuk pertimbangan baginda.

Selain Ismail, dua lagi nama yang dikemukakan ialah Timbalan Presiden UMNO yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga pemenang kerusi DUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, pemilihan Menteri Besar merupakan hak mutlak Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan keputusan akhir tertakluk kepada perkenan baginda.

“Saya telah mengemukakan tiga nama kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk dipertimbangkan. Selebihnya adalah hak mutlak Tuanku untuk memilih Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadap baginda lewat malam tadi.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti tiga calon berkenaan bagi menghormati proses pelantikan oleh pihak Istana.

Dalam perkembangan sama, pembentukan kerajaan negeri turut menjadi perhatian apabila timbul pelbagai spekulasi sepanjang malam tadi, termasuk dakwaan mengenai kemungkinan kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, MalaysiaGazette difahamkan kepimpinan tertinggi UMNO kekal dengan pendirian untuk membentuk kerajaan negeri bersama Perikatan Nasional (PN), selaras dengan persefahaman yang dicapai selepas keputusan PRN dimuktamadkan.

Ahmad Zahid sebelum ini turut memaklumkan kerajaan negeri baharu akan dibentuk melalui kerjasama BN dan PN selepas kedua-dua gabungan memperoleh majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lewat malam tadi mengumumkan keputusan rasmi PRN Negeri Sembilan menyaksikan BN memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN, manakala PN memperoleh tujuh kerusi dan PH memenangi 11 kerusi.

Keputusan itu memberi BN dan PN 25 kerusi DUN, sekali gus majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Ismail, yang sebelum ini pernah mewakili DUN Senaling, kembali mencuri tumpuan apabila dipilih bertanding di Juasseh pada PRN kali ini dan berjaya memenangi kerusi berkenaan.

Semua perhatian kini tertumpu ke Istana Besar Seri Menanti bagi pengumuman rasmi pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu serta istiadat mengangkat sumpah jawatan yang dijadual berlangsung pagi ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast