GEORGE TOWN – Tiga lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan rawai cakar dengan sebuah bot gentian kaca yang tidak mempunyai nombor pendaftaran di perairan Pulau Tikus di sini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot berkenaan ditahan dalam operasi penguatkuasaan selepas pihaknya menerima maklumat dan aduan menerusi sistem FISH COM kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, aduan itu memaklumkan sebuah bot gentian kaca dipercayai sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan dilarang iaitu rawai cakar.
“Susulan aduan tersebut, sebuah bot peronda Maritim Malaysia bersama lima anggota yang sedang melaksanakan rondaan rutin digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.
“Pada kira-kira jam 2.15 petang, bot berkenaan berjaya dikesan kira-kira 0.1 batu nautika di timur Pulau Tikus ketika sedang leka menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan rawai cakar.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran dan dikendalikan tiga kru warga tempatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu Seksyen 8(a) kerana tidak memiliki lesen sah serta Seksyen 26 kerana menggunakan kaedah atau peralatan penangkapan ikan yang dilarang.
“Ketiga-tiga kru warga tempatan telah ditahan, manakala bot berkenaan diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Kita juga ingin mengingatkan penggunaan peralatan penangkapan ikan yang dilarang merupakan kesalahan serius kerana boleh menjejaskan kelestarian sumber perikanan negara serta mengancam ekosistem marin,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan salah laku atau aktiviti mencurigakan di laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-262 6146 atau talian kecemasan 999. – MalaysiaGazette















