SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bagi mempersembahkan tiga nama calon menteri besar baharu untuk dipertimbangkan.
Presiden UMNO itu berkata, beliau sendiri menyerahkan warkah dan watikah rasmi kepada Tuanku Mukriz Tuanku Munawir selepas mengadakan perbincangan yang panjang sebelum menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara baginda.
Menurut beliau, pemilihan menteri besar merupakan hak mutlak istana dan BN akan menghormati apa jua keputusan yang bakal dibuat.
“Saya telah mengemukakan tiga nama kepada Tuanku dan saya serahkan tiga nama itu atas budi bicara Tuanku untuk perkenan.
“Terpulang kepada Tuanku untuk memilih salah seorang daripadanya sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan baharu,” katanya kepada pemberita, di sini, malam tadi.
Terdahulu Ahmad Zahid menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir hampir dua jam setengah di Istana Hinggap Negeri Sembilan di sini.
Zahid turut memaklumkan pihak Istana dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat berhubung keputusan tersebut.
“Hak Tuanku untuk memilih salah seorang daripada nama-nama yang dikemukakan. Itu hak Istana untuk mengumumkannya,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid juga menyembah maklum kepada Seri Paduka tentang BN dan Perikatan Nasional (PN) akan membentuk kerajaan baharu Negeri Sembilan selepas memperoleh majoriti 25 dari 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jelas Ahmad Zahid berkata, gabungan itu memperoleh sokongan kukuh apabila BN memenangi 18 kerusi manakala PN menyumbang tujuh lagi kerusi.
Menurut beliau, jumlah tersebut mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“BN memperoleh 18 kerusi dan PN memperoleh tujuh kerusi. Dengan 25 kerusi ini, atas perkenan Tuanku, kerajaan BN dan PN akan terbentuk sebagai kerajaan baharu Negeri Sembilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















