Tuanku Mukriz Tuanku Munawir menerima mengadap Ahmad Zahid Hamidi bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki di Istana Hinggap, Seremban.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir perkenan pembentukan kerajaan negeri yang baharu oleh Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mempersembahkan kepada Tuanku Mukriz hasil keputusan pilihan raya serta kesepakatan yang dicapai antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional sejurus berakhirnya proses undi Pilihan Raya Negeri Sembilan di Istana Hinggap malam tadi.

Beliau mengadap Tuanku Mukriz bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki.

Turut bersama dalam pertemuan itu adalah kedua-dua anakanda baginda, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-‘Abidin.

Ahmad Zahid turut berkongsi beberapa keping gambar pertemuan itu menerusi media sosialnya.

Menurut beliau, Barisan Nasional menjunjung kasih atas perkenan Tuanku Mukriz dan akan melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri serta prinsip kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Sembilan.

Barisan Nasional akan terus menjunjung tinggi, memelihara dan menghormati institusi diraja sebagai payung kedaulatan negeri, lambang perpaduan rakyat serta teras kepada sistem Raja Berperlembagaan.

“Semoga Allah SWT terus melimpahkan rahmat, kebijaksanaan dan inayah-Nya kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam memayungi Negeri Sembilan Darul Khusus serta seluruh rakyatnya. Daulat Tuanku,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast