Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim menerima watikan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah. Foto MOHD ADZLAN, 02 OGOS 2026.

SERI MENANTI – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah agar semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik atau peribadi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Baginda bertitah, amanah yang diberikan oleh rakyat perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, kejujuran dan integriti bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan terus terpelihara.

Menurut baginda, setiap dasar, perancangan dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri hendaklah berteraskan kepentingan rakyat serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri hendaklah sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik atau kepentingan peribadi dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat,” titah baginda.

Pada masa sama, Tuanku Muhriz mengingatkan semua wakil rakyat supaya mengelak sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik sehingga menjejaskan pelaksanaan dasar dan pentadbiran kerajaan negeri.

Baginda bertitah, kestabilan politik merupakan antara faktor penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.

Sehubungan itu, baginda menyeru semua pemimpin supaya mengamalkan budaya politik yang matang, mengutamakan perpaduan serta meletakkan kepentingan negeri mengatasi perbezaan fahaman politik.

Dalam titah sama, Tuanku Muhriz turut mengingatkan Menteri Besar dan semua ADUN supaya sentiasa menghormati serta taat kepada institusi Raja Berperlembagaan selain memelihara keluhuran sistem pentadbiran dan menjunjung kedaulatan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Baginda bertitah, hubungan yang erat antara institusi diraja dan kerajaan negeri merupakan asas penting bagi memastikan pentadbiran negeri terus berjalan secara teratur, stabil dan berkesan.

Terdahulu, Tuanku Muhriz menzahirkan ucapan tahniah kepada semua ADUN yang dipilih pada PRN baru-baru ini selain merakamkan penghargaan kepada semua ADUN penggal lalu atas khidmat dan sumbangan mereka sepanjang tempoh berbakti kepada negeri.

Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu mampu melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh kesungguhan, kejujuran dan dedikasi demi memastikan kemakmuran negeri serta kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Juasseh, Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-12 di hadapan Tuanku Muhriz selepas diperkenankan baginda berikutan kemenangan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri pada PRN ke-16. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ismail Lasim Menteri Besar Negeri Sembilan baharu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast