KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai sikap Pas dan presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa sering menukar pendirian serta mungkir janji mempunyai asas yang kukuh.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, pendirian Ahmad Zahid yang menyifatkan Pas sering mungkir janji sejak dahulu lagi selari dengan siri kejadian politik terkini khususnya membabitkan hubungan antara Bersatu dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).
“Pengalaman Zahid yang menjadi saksi hidup dalam perbincangan empat mata bersama Abdul Hadi terbukti apabila persetujuan yang dicapai sering berubah keesokan harinya.
“Sikap sama turut ditunjukkan dalam pertemuan pada 16 Januari 2026 bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Walaupun pimpinan Pas pada malam tersebut bersetuju dengan pindaan Perlembagaan PN, pembentukan majlis eksekutif serta pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hanya untuk urusan pentadbiran harian, tindakan susulan Pas nyata membelakangkan keputusan tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Beliau berkata, Pas melalui wakilnya telah memanggil Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) PN tanpa menjemput Muhyiddin.
“Selain melanggar skop pelantikan Ahmad Samsuri, kepimpinan Pas turut melanggar keputusan MT PN berhubung pelantikan Ketua Pembangkang dalam kalangan ahli Parlimen parti itu yang kemudiannya diubah di Rusila.
“Kemuncak kepada siri pelanggaran ini berlaku apabila pindaan Perlembagaan PN terus terhenti sehingga Jun sebelum Abdul Hadi secara sepihak mengumumkan pemutusan hubungan dengan Bersatu.
“Jadi cakap Zahid bahawa Pas ini ada DNA khianat dan Hadi penipu, saya ini saksi hidup bincang empat mata dengan Hadi Awang.
“Sewaktu berdepan kita setuju tetapi esok tukar, tidak setuju, memang ada asasnya,” ujarnya lagi.
Dakwa Tun Faisal lagi, rentetan peristiwa itu membuktikan corak kepimpinan Pas yang konsisten melanggar kesepakatan dan mengukuhkan pandangan mengenai isu kredibiliti parti berkenaan.

Tun Faisal berkongsi sebuah keratan video lama yang berdurasi tujuh minit sembilan saat yang merujuk kepada ucapan Ahmad Zahid ketika Pelancaran Jentera Perpaduan 2023.
Ia merupakan gerak kerja bersama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Menerusi video tersebut Ahmad Zahid menyebut Abdul Hadi pernah melakukan pembohongan melibatkan urusan jemaah di Mekah yang melibatkan pengurusan kuota haji, pembayaran penginapan jemaah serta dakwaan pembohongan politik yang dikaitkan dengan kepimpinan tertinggi parti berkenaan.
“Kalau di Mekah pun boleh menipu, di luar Mekah lebih banyak menipu lagi,” katanya.
Isu yang dibangkitkan merangkumi dakwaan berlakunya kegagalan dan masalah dalam urusan pembayaran bilik hotel serta pengurusan jemaah ketika musim haji.
Kenyataan berkenaan dijadikan antara bahan kempen utama oleh jentera Kerajaan Perpaduan untuk mempertikaikan kredibiliti serta imej keagamaan yang dibawa oleh kepimpinan Pas menjelang hari pengundian pada PRN 2023. – MalaysiaGazette
















