SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan terus mengambil tindakan terhadap isu anjing liar yang mengancam keselamatan awam, namun pelaksanaannya mesti dilakukan secara berhemah tanpa sebarang unsur kekejaman terhadap haiwan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri perlu memastikan keseimbangan antara menjaga kebajikan haiwan dan melindungi keselamatan serta kepentingan orang ramai.
“Kita juga akan ambil tindakan terutama terhadap haiwan liar yang boleh mengancam keselamatan. Kerajaan perlu bertindak demi maslahat umum, tetapi janganlah tindakan itu sampai bersifat kejam atau tidak mencerminkan nilai kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.
Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan segelintir pihak yang mendakwa, isu kebajikan anjing lebih mendapat perhatian berbanding kebajikan manusia.
Menurut beliau, dakwaan bahawa kerajaan negeri hanya memberi perhatian kepada isu haiwan adalah tidak berasas kerana tindakan terhadap isu melibatkan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa diambil.
“Itu tuduhan. Jangan cakap macam itu. Tindakan memang dibuat oleh pihak berkuasa dan pegawai-pegawai kita. Kenapa pula mereka dituduh tidak bertindak sedangkan tindakan telah diambil?” katanya.
Beliau turut merujuk kepada kebimbangan yang dizahirkan Tengku Permaisuri Selangor berhubung isu kebajikan haiwan, sambil menegaskan perhatian terhadap kebajikan haiwan tidak bermaksud mengabaikan kebajikan manusia.
“Dulu Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri juga menyuarakan kebimbangan terhadap isu itu.
“Jangan marah jika ada pihak yang memberi perhatian kepada kebajikan haiwan kerana ada juga yang menjaga kebajikan manusia,” ujarnya.
Sehubungan itu Amirudin berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh tindakan menangani masalah haiwan liar bagi mengelakkan insiden yang boleh menjejaskan keselamatan orang ramai, sambil memastikan setiap operasi dilaksanakan secara berperikemanusiaan. – MalaysiaGazette
















