KUALA LUMPUR – Usia, saiz fizikal mahupun cabaran berpisah berbulan-bulan dengan keluarga tercinta tidak pernah menjadi halangan buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk terus menggegarkan pentas antarabangsa apabila berjaya meraih pingat emas acara keirin pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Melalui perkongsian yang menyentuh hati di media sosialnya, Azizulhasni menzahirkan rasa syukur yang mendalam dan berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak pernah henti menyititkan doa serta sokongan moral sepanjang perjuangannya di bumi Scotland.
Kejayaan manis itu dibuktikan dengan kecekalan dan iltizam tinggi pelumba yang digelar The Pocket Rocketman, sekali gus membuktikan kerja keras, kesungguhan serta niat yang ikhlas akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan seluruh rakyat Malaysia.
“Sekali lagi saya membuktikan kepada dunia yang kerja keras, niat yang baik, kesungguhan dan ketekunan yang tinggi akhirnya akan menghadirkan sebuah kejayaan didalam kehidupan seharian kita.
“Siapa sangka, pada usia sebegini yang dilihat sebagai terlalu lewat di peringkat elit, ditambah dengan saiz tubuh badan yang jauh terlalu kecil jika dibandingkan dengan pihak lawan yang lain, akan tetapi saya masih mampu menggapai sesuatu yang rata-rata ramai orang menggelengkan kepala.,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau berkata, semangat waja dan tekad yang membara membolehkan dirinya merobohkan benteng skeptikal tersebut dan menjulang nama Malaysia di peringkat tertinggi.
“Ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan dan doa berterusan kepada saya.
“Terima kasih kepada penaja-penaja saya CIMB Malaysia, Malaysia Airlines, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, 100PLUS Malaysia, Volkswagen Malaysia, Swiss Watch, Daikin Malaysia, AZ E-Bike, Shopee Malaysia, Oakley South East Asia, Kabuto|オージーケーカブト, Wattbike dan juga Kerajaan Negeri Terengganu Uuru Setia Penerangan Darul Iman.
“Sebagai pelumba professional, sokongan penajaan dari mereka ini tersangatlah penting untuk kejayaan saya hari ini.
“Kalau anda semua menghargai kemenangan saya disini, hargailah juga usaha penaja-penaja yang menjadi tulang belakang karier saya ini,” ujarnya lagi.
Dalam pda itu, Azizulhasni turut merakamkan penghargaan khas buat tulang belakang kariernya, termasuk isteri tercinta, Tya Boo, anak-anak yang setia merindui dari jauh serta ibu tersayang yang sentiasa mendoakan keberkatan langkahnya.
“Ucapan setinggi-tinggi terima kasih juga kepada seorang individu yang tidak wajar kita lupakan.
“Jasa, pengorbanan dan sumbangan beliau amat bermakna kepada kita semua. Siapa lagi kalau bukan John Beasley selain sokongan padu daripada badan-badan sukan negara seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) serta Kerajaan Negeri Terengganu.
Azizulhasni yang menghadiahkan kilauan emas ketujuh pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas menjuarai acara keirin lelaki di Veldrom Sir Chris Hoy.
Ia merupakan pingat emas pertamanya di pentas Sukan Komanwel pada penampilan terakhirnya di temasya berkenaan. -MalaysiaGazette
















