BUTTERWORTH – Empat lelaki dan seorang wanita warga Taiwan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita warga Cameroon pada 16 Julai lalu.
Kesemua mereka yang berusia antara 27 hingga 36 tahun berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Kelima-lima mereka juga akan didakwa bersama 24 lagi lelaki dan wanita berusia antara 21 hingga 55 tahun yang berasal dari Filipina, Pakistan, Kemboja, Afrika Selatan dan Nigeria atas pertuduhan mengikut Akta Imigresen 1959/63 di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.
Kesemua 29 suspek itu sebelum ini ditahan dalam serbuan polis yang membongkar kegiatan eksploitasi manusia dan sindiket penipuan pekerjaan (job scam) di Seberang Perai Tengah (SPT).
ARTIKEL BERKAITAN
Polis P.Pinang bongkar sindiket eksploitasi manusia, selamatkan wanita Cameroon
Polis cari William bantu siasatan sindiket phone scam
Media pada 17 Julai lalu melaporkan, Polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Cameroon berusia 25 tahun yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Utara, Berapit, Bukit Mertajam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng dilaporkan berkata, operasi kira-kira jam 7 malam pada 16 Julai lalu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dengan kerjasama D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang serta Balai Polis Bukit Mertajam.
Menurutnya, serbuan dilakukan susulan laporan polis daripada wakil komuniti Cameroon di Malaysia berhubung seorang wanita warga negara itu yang dipercayai dikurung dan dieksploitasi di daerah Seberang Perai Tengah.
Beliau berkata, hasil serbuan berjaya menyelamatkan mangsa serta menahan 29 warga asing terdiri daripada 20 lelaki dan sembilan wanita yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan diri yang sah.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibawa dari Kemboja ke Malaysia melalui laluan tidak sah selepas bekerja dengan sindiket berkenaan selama hampir setahun.
“Mangsa dipercayai diperdaya dengan tawaran pekerjaan, tidak dibayar gaji selain pergerakannya dikawal,” katanya. – MalaysiaGazette















