Kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk pertuduhan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

BUTTERWORTH – Lima warga Taiwan termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita warga Cameroon bagi tujuan eksploitasi kerja, pada bulan lalu.

Semua tertuduh iaitu Chien Te Hsi, 27; Hung Ming Hung, 35; Chao Jhih Ying, 35; Liao Shao Wei, 36; dan Tseng Wei Ting, 29, yang merupakan satu-satunya wanita dalam kalangan mereka, pada mulanya memaklumkan tidak memahami pertuduhan sebelum mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dalam mencapai niat memperdagangkan seorang wanita warga Cameroon, Gemuh Akwotehwibuen Vicky Mildriel bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara penyalahgunaan kedudukan orang yang mudah terdedah kepada bahaya perbuatan pemerdagangan orang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 7 malam pada 16 Julai lalu di sebuah premis di No. 2229, Jalan Utara Berapit, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam R. Vikraman dan Naveen Chandra Bose.

Hakim tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin atas faktor tiada rekod kemasukan mereka ke negara ini dan menetapkan 1 September depan untuk sebutan semula kes.

Artikel berkaitan: 

Polis P.Pinang bongkar sindiket eksploitasi manusia, selamatkan wanita Cameroon

Media pada 17 Julai lalu melaporkan, Polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Cameroon berusia 25 tahun yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Utara, Berapit, Bukit Mertajam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng dilaporkan berkata, operasi kira-kira jam 7 malam pada 16 Julai lalu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dengan kerjasama D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang serta Balai Polis Bukit Mertajam.

Menurutnya, serbuan dilakukan susulan laporan polis daripada wakil komuniti Cameroon di Malaysia berhubung seorang wanita warga negara itu yang dipercayai dikurung dan dieksploitasi di daerah Seberang Perai Tengah.

Beliau berkata, serbuan tersebut berjaya menyelamatkan mangsa serta menahan 29 warga asing terdiri daripada 20 lelaki dan sembilan wanita yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan diri yang sah.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibawa dari Kemboja ke Malaysia melalui laluan tidak sah selepas bekerja dengan sindiket berkenaan selama hampir setahun.

“Mangsa dipercayai diperdaya dengan tawaran pekerjaan, tidak dibayar gaji selain pergerakannya dikawal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast