Hassan Abdul Karim

PASIR GUDANG – Pakatan Harapan (PH) mampu memberi cabaran sengit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti kerana UMNO didakwa tidak kuat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ini kerana berdasarkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) UMNO tidak menang sebarang kerusi Parlimen, sekali gus menunjukkan parti tersebut tidak kuat di peringkat DUN.

“Pas sekurang-kurangya menang dua kerusi Parlimen (dalam PRU-15) manakala DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP masing-masing satu kerusi.

“Jadi maknanya kalau UMNO tak sekuat mana untuk menang di Parlimen, maka kedudukan UMNO di peringkat DUN tak sekuat mana dan boleh dicabar,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan sebuah sampan kepada sukarelawan skuad bencana dan minum pagi bersama-sama komuniti flat Taman Molek di sini hari ini.

Katanya, keyakinan tersebut juga berdasarkan rekod PKR yang pernah dua kali menewaskan Ketua Menteri Melaka daripada Barisan Nasional (BN) di DUN Bukit Katil dalam pilihan raya terdahulu.

Justeru katanya, PH dan PKR perlu menyusun strategi yang tepat dan tidak mengulangi faktor kekalahan dalam pilihan raya negeri (PRN) di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

“Tunjukkan prestasi yang baik. Jangan terlalu (ikut) strategi yang bukan-bukan, (contohnya) nak (mampu) bentuk kerajaan (negeri), jangan, nanti orang ketawakan. (Apa yang lebih penting) nak dapat lebih banyak kerusi,” katanya.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu mencadangkan Pengarah PRN Melaka nanti dipilih daripada kalangan pemimpin tempatan dan bukan seperti PRN di Johor atau Negeri Sembilan yang diketuai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“PRN di Melaka bagi orang Melaka yang ketuai, biar Amirudin berehat dahulu, bila kempen (PRN Melaka) nanti Anwar macam biasalah boleh turun berkempen,” katanya.

Pada PRN Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, PH terutama PKR kalah teruk termasuk hilang beberapa kerusi yang disandang malah kerajaan PH Negeri Sembilan juga tumbang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast