Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan kemenangan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai petunjuk politik identiti kaum mengatasi politik nilai yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, keputusan pilihan raya itu menunjukkan sebahagian besar pengundi memilih berdasarkan sentimen dan emosi kaum berbanding prestasi serta pencapaian kerajaan sebagai ukuran sokongan.

“Pengundi Negeri Sembilan memilih emosi dan sentimen kaum daripada prestasi dan pencapaian sebagai tanda aras sokongan mereka,” katanya yang juga Pengarah Induk Pilihanraya Amanah dalam kenyataan hari ini.

Mujahid berkata, walaupun PH menghormati keputusan pengundi, beliau melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan politik yang berasaskan identiti kaum dan agama kerana berpotensi meruncingkan suasana politik negara.

Menurutnya, keadaan itu boleh meningkatkan ketidakpercayaan dan kebencian antara kaum serta agama, sekali gus menjejaskan kestabilan politik, perpaduan dan kemakmuran negara.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan BN yang bekerjasama dengan PN di Negeri Sembilan walaupun merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Katanya, keadaan itu mengelirukan rakyat apabila pemimpin BN yang memegang jawatan dalam kerajaan menggunakan kedudukan mereka untuk berkempen, namun pada masa sama bekerjasama dengan pembangkang bagi menewaskan kerajaan negeri yang dibentuk bersama sebelum ini.

Mujahid mendakwa tindakan BN di Negeri Sembilan seolah-olah “menikam” rakan sendiri dengan pembahagian kerusi bersama PN bagi menumbangkan kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.

Beliau turut berpendapat cita-cita perpaduan yang diharapkan PH bersama BN telah diatasi oleh naratif politik Melayu-Islam yang dibawa PN.

Sehubungan itu, katanya, PH perlu  muhasabah terhadap kelemahan sendiri dan membina kekuatan baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

“PH harus sedar bahawa cita-cita perpaduan yang diharapkan bersama BN telah dirampas oleh cita-cita ketuanan Melayu-Islam yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) dan demi kuasa, BN sanggup meninggalkan cita-cita melihat Malaysia tanpa prejudis dan kebencian kaum-agama.

“Ini adalah isyarat bahawa PH akan mengharungi laluan mendaki yang sukar jika PH beriltizam untuk istiqamah membawa Malaysia ke politik nilai yang lebih menjaminkan masa depan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast