BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memperkenalkan
penggunaan logo rasmi baharu yang disertakan dengan tulisan Jawi bagi perkataan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh identiti universiti.

Selain itu, memartabatkan tulisan Jawi sebagai warisan bangsa dan khazanah budaya negara.

Inisiatif itu mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk memperkasakan penggunaan tulisan Jawi di institusi pendidikan tinggi, sekali gus mengangkat nilai sejarah, budaya dan jati diri negara dalam landskap pendidikan tinggi Malaysia.

Penggunaan tulisan Jawi pada logo rasmi bukan sekadar penambahbaikan dari aspek visual, malah membawa makna yang lebih mendalam sebagai simbol penghargaan terhadap warisan peradaban Melayu-Islam yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia.

Langkah itu juga selari dengan usaha UTHM untuk membentuk sebuah institusi yang progresif tanpa mengabaikan akar budaya dan nilai tradisi yang menjadi asas pembinaan tamadun.

Bagi memastikan pelaksanaannya berjalan secara tersusun dan berhemah, penggunaan logo baharu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut tiga fasa.

Fasa pertama melibatkan medium digital dan bahan komunikasi rasmi yang tidak melibatkan atau hanya memerlukan kos minimum.

Fasa kedua memberi tumpuan kepada penggantian bahan bercetak, bahan promosi, cenderamata dan pakaian seragam secara berjadual tanpa menggantikan aset yang masih boleh digunakan.

Sementara itu, fasa ketiga melibatkan penggantian aset fizikal seperti papan tanda bangunan, pelekat logo kenderaan serta papan tanda kemudahan mengikut keutamaan dan peruntukan semasa.

Melalui pelaksanaan ini, UTHM yakin bahawa usaha memartabatkan tulisan Jawi mampu menyemarakkan lagi penghargaan terhadap warisan negara dalam kalangan warga universiti, selain memperkukuh imej UTHM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang mengimbangi kecemerlangan akademik, kemajuan teknologi dan pemeliharaan nilai-nilai budaya serta identiti nasional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast