KUALA LUMPUR – Saya terima kekalahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dengan perbezaan 688 undi namun kempen kali ini dipenuhi serangan peribadi dan fitnah terhadap saya, dakwa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Beliau berkata, persaingan di DUN Chennah kali ini amat mencabar berbanding siri pilihan raya yang pernah disertainya sebelum ini berikutan pelbagai tuduhan tidak berasas yang dilemparkan bagi merosakkan reputasinya.
“Banyak fitnah mendakwa saya mahu merampas kuasa pentadbiran Melayu, nak jadi Menteri Besar dan kawal kerajaan negeri, malah ada yang tuduh saya mahu jadi Tok Undang, sesuatu yang langsung tidak masuk akal.
“Ada yang percaya walaupun ia sindiran, walaupun dikatakan gurauan tetapi ada pihak yang mengambil kesempatan menyatakan inilah Anthony Loke, inilah DAP, dia nak jadi macam-macam, nak kawal, nak hilangkan kuasa orang Melayu.
“Di kampung-kampung memang bisikan-bisikan ini berkesan kerana ramai orang kampung yang bagi tahu kepada saya, dia tanya saya betul ke YB nak jadi Menteri Besar?
“Adakah betul ke Yang Berhormat berangan-angan nak jadi Tok Undang?
“Ini pertanyaan daripada pengundi saya sendiri. Jadi bermaksud ada yang termakan dengan hasutan dan juga tohmahan seperti berikut. Ini sesuatu yang amat tidak sihat. Jadi semua ini terbukti bahawa ini adalah semua adalah tipu helah dalam kempen pilihan raya
“Namun inilah adat bertanding dalam politik apabila saya menjadi sasaran fitnah,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan meyuarat CEC di Ibu pejabat DAP malam tadi.
BACA: 4,000 perwakilan akan tentukan kedudukan DAP kekal atau tidak dalam kerajaan
Mengulas isu gurauan mengenai ‘Undang Kelima’, Anthony berkata, kenyataan itu telah dimanipulasi pihak tertentu untuk menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan pengundi Melayu.
“Strategi itu memberi kesan apabila terdapat pengundi di kawasan saya yang bertanyakan sendiri mengenai kesahihan dakwaan tersebut sepanjang kempen berlangsung.
“Seperti saya katakan, saya terima dan tetap berpuas hati kerana masih berjaya memperoleh 47 peratus undi keseluruhan termasuk kira-kira 20 hingga 25 peratus sokongan daripada pengundi Melayu,” ujarnya lagi.
Beliau menghormati proses demokrasi dan keputusan yang dibuat oleh pengundi di DUN Chennah serta tidak menyesal berjuang sehingga ke akhir kempen.
“Saya telah bertanding dalam beberapa pilihan raya dan memenangi kesemua pilihan raya sebelum ini tetapi kempen kali ini sangat mencabar terutamanya disebabkan serangan peribadi ke atas saya,” katanya.
Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan Loke tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Siow Kong Choon dengan majoriti 688 undi.
Kerusi DUN Chennah antara kerusi tumpuan pada PRN DUN Negeri Sembilan. Pada PRN sebelum ini, Anthony menang kerusi berkenaan dengan majoriti 2,200 undi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
KEMASKINI: Anthony letak jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan
















