Tangkap layar hantaran kenderaan yang diparkir MRT Kajang disembur cat merah.

KUALA LUMPUR – Beberapa kenderaan yang diparkir di luar kawasan tempat letak kereta di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kajang disembur cat berwarna merah.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita tempatan berusia 48 tahun sekitar jam 8.29 malam, semalam.

“Pengadu yang bekerja di sektor swasta memaklumkan telah meletakkan kenderaanya jenis Perodua Myvi di luar kawasan parkir itu sekitar jam 6 pagi sebelum menaiki perkhidmatan MRT ke tempat kerja.

“Apabila dia kembali sekitar jam 6 petang, wanita itu mendapati terdapat kesan semburan cat berwarna merah pada cermin sebelah kanan kenderaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan yang dilaksanakan mendapati beberapa  kenderaan lain yang diparkir di kawasan sama turut mengalami kesan semburan cat berwarna merah.

“Setakat ini hanya satu laporan yang diterima dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti individu terlibat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat yang menyebabkan kerosakan.

Naazron meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Norhafdzeli Ismail di talian 010-375 5508, Bilik Gerakan IPD Kajang di talian 03-8911 4222, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast