Pelancaran LiSA (Life-Saving Appliance) disempurnakan oleh Pengarah JBPM Negeri Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim di Pusat Rekreasi Sungai Rengat, Ulu Cheka, Jerantut.

KUALA LUMPUR –  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang memperkukuh komitmennya dalam meningkatkan keselamatan masyarakat menerusi pelancaran LiSA (Life-Saving Appliance) bersempena World Drowning Prevention Day 2026 (Hari Pencegahan Lemas Sedunia) yang disambut pada Julai setiap tahun.

Pengarah JBPM Negeri Pahang, Datuk Mohd. Razam Taja Rahim berkata, pelancaran LiSA itu merupakan antara inisiatif proaktif JBPM bagi menyediakan kemudahan bantuan awal kepada orang awam, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“LiSA merupakan kemudahan yang dilengkapi dengan pelampung, jaket keselamatan, tali dan peti pertolongan cemas bagi membolehkan orang awam bertindak sebagai first responder untuk membantu mangsa lemas dari tebing sungai tanpa perlu mempertaruhkan nyawa dengan terjun ke dalam air.

Menurut beliau, pendekatan tersebut selaras dengan prinsip keselamatan antarabangsa Reach or Throw, Don’t Go iaitu ‘Capai atau Baling, Jangan Terjun’,” katanya ketika melancarkan LiSA di Pusat Rekreasi Sungai Rengat, Ulu Cheka, Jerantut, Pahang baru-baru ini.

LiSA merupakan antara inisiatif proaktif JBPM bagi menyediakan kemudahan bantuan awal kepada orang awam.

Program yang diselaraskan oleh Cawangan Program Kesedaran Keselamatan Awam, Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Negeri Pahang dan BBP Jerantut itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya lemas serta kepentingan tindakan awal yang betul ketika berdepan kecemasan di kawasan rekreasi air.

Setakat ini di Pahang, LiSA telah dipasang di Pantai Teluk Cempedak dan Sungai Rengat.

Tambah Mohd. Razam, pelaksanaan LiSA bukan sekadar menyediakan peralatan menyelamat, malah bertujuan membentuk komuniti yang lebih peka, bersedia dan berupaya memberikan bantuan awal secara selamat sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

Katanya, LiSA diwujudkan bagi memperkasakan masyarakat sebagai barisan hadapan ketika berlaku kecemasan di kawasan air dan apa yang paling penting ialah orang awam tidak mengambil risiko dengan terjun ke dalam air kerana tindakan itu boleh mengakibatkan tragedi lemas berganda.

“Kesedaran masyarakat mengenai penggunaan LiSA perlu terus dipertingkatkan agar lebih ramai memahami fungsi dan kepentingan kemudahan tersebut dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat lemas.

JBPM turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan vandalisme atau mencuri peralatan LiSA kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menyebabkan kemudahan penting tersebut gagal digunakan ketika kecemasan dan berpotensi meragut nyawa.

“Peralatan yang disediakan ini bukan sekadar kemudahan awam, sebaliknya ia boleh menjadi penyelamat nyawa pada saat-saat genting. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjaga dan memelihara kemudahan LiSA demi keselamatan semua,” katanya lagi.

pelepasan benih ikan jenis Lampam Sungai, Kelah dan Tereboi.

Sementara itu, program sama  turut menampilkan demonstrasi penyelamatan menggunakan LiSA oleh anggota Bomba Komuniti bersama orang awam.

Demonstrasi tersebut memperlihatkan cara penggunaan pelampung dan tali dengan betul mengikut konsep Reach or Throw, Don’t Go, sekali gus memberi pendedahan kepada komuniti mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya berdepan insiden lemas.

Majlis turut menyaksikan penyerahan sijil pelantikan kepada Penyelia LiSA Sungai Rengat sebagai pengiktirafan kepada wakil komuniti yang akan membantu memantau, menyelenggara serta memastikan kemudahan LiSA sentiasa berada dalam keadaan baik untuk digunakan ketika kecemasan.

Sebagai sebahagian daripada pengisian program, turut diadakan pelepasan benih ikan jenis Lampam Sungai, Kelah dan Tereboi.

Ini adalah hasil kerjasama Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jabatan Perikanan Malaysia, sebagai usaha memulihara ekosistem sungai serta menyokong kelestarian alam sekitar.

Program berkenaan turut mendapat sokongan dan kerjasama pelbagai agensi serta komuniti setempat termasuk Polis Diraja Malaysia (Balai Polis Kg. Batu Balai), Rela Jerantut, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perikanan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Penghulu Mukim, Tok Empat Kampung Koi, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Damak dan Bomba Komuniti Kampung Koi.

Bukan itu sahaja, kehadiran Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat Malaysia (Perisma), Datin Suraya Jusoh dan kaum wanita sekitar Sungai Rengat serta pengunjung, sekali gus membuktikan usaha mencegah kes lemas memerlukan kerjasama semua pihak.

Untuk rekod, LiSA merupakan inisiatif JBPM yang mula diperkenalkan secara meluas sejak tahun 2022 di beberapa negeri termasuk Perak (Teluk Senangin), Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat menghadapi kecemasan di kawasan rekreasi air.

Selain LiSA, REWARD (Recycle Light Water Rescue Equipment) juga merupakan salah satu kemudahan yang disediakan oleh pihak Bomba untuk orang awam sebagai bantuan penyelamatan di air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast