SHAH ALAM – Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan tidak serius mengikuti perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 mencetuskan kekecohan hampir 15 minit pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Situasi itu memaksa Speaker DUN Selangor, Weng San campur tangan beberapa kali bagi mengawal keadaan sebelum membuat keputusan menangguhkan sahaja persidangan ke hari esok.
Kenyataan itu mengundang bantahan daripada ADUN Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi yang bangun meminta Mohd Razali menarik balik dakwaan berkenaan kerana disifatkan sebagai satu tuduhan terhadap wakil rakyat kerajaan.
Suasana dewan semakin panas apabila beberapa wakil-wakil rakyat kerajaan dan pembangkang bangun serentak mempertahankan pendirian masing-masing sehingga mencetuskan pertikaman lidah dan menyebabkan perbahasan rang undang-undang itu tergendala hampir 15 minit.
Weng San kemudian bangun mengingatkan semua ahli dewan supaya mematuhi Peraturan Tetap 36(6) yang melarang seseorang ahli mengeluarkan sangkaan jahat terhadap mana-mana ahli dewan ketika perbahasan.
Beliau berulang kali meminta Mohd Razali menarik balik kenyataan yang disifatkan memberi gambaran bahawa ADUN kerajaan, khususnya yang beragama Islam, tidak serius dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Bagaimanapun, Mohd Razali pada mulanya enggan berbuat demikian dan meminta Speaker menjelaskan bahagian ucapan yang perlu ditarik balik kerana menurutnya beliau tidak pernah menggunakan perkataan seperti yang didakwa.
Keengganan itu menyebabkan perdebatan terus berlarutan apabila beberapa ADUN terus bangun menyuarakan pandangan masing-masing, manakala Weng San berkali-kali mengarahkan semua wakil rakyat kembali ke tempat duduk dan memberi ruang kepada beliau mengendalikan sidang tersebut.
Speaker turut menjelaskan kehadiran ADUN tidak mempunyai kaitan dengan inti pati rang undang-undang yang sedang dibahaskan, selain mengingatkan ketidakhadiran ahli dewan pernah berlaku dalam kalangan kerajaan mahupun pembangkang dan tidak seharusnya dijadikan asas membuat sangkaan buruk terhadap mana-mana wakil rakyat.
Beliau turut menegaskan, perbahasan perlu tertumpu kepada kandungan rang undang-undang dan bukannya menyentuh sifat atau kelakuan mana-mana ADUN sehingga mencetuskan provokasi di dalam dewan.
Selepas beberapa kali menggesa Mohd Razali menarik balik kenyataannya namun tidak dipatuhi, Weng San akhirnya memaklumkan beliau akan meneliti semula rakaman prosiding sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu pada persidangan esok.
Persidangan kemudiannya ditangguhkan petang selepas hampir 15 minit perbahasan tergendala akibat kekecohan tersebut dan akan disambung semula pada pukul 10 pagi esok. -MalaysiaGazette
















