TEMERLOH – Dua pelajar lelaki dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Chenor, Maran maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 119, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.39 malam itu, Muhammad Nazim Dzafran Mohd Faizul dan Muhammad Hafizuddin Abdullah, masing-masing berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, ketika kejadian, kedua-dua remaja itu menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dalam perjalanan dari Bandar Temerloh ke Chenor, Maran.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, mereka cuba memintas sebuah Toyota Vios dipandu seorang juruteknik berusia 34 tahun, namun dipercayai terlanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta itu.
“Ia menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak dan jatuh ke laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd Nasyim lagi, ketika itu juga sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak, lalu melanggar kedua-dua remaja berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya giat mengesan saksi awam yang melihat kemalangan itu dan kes didisiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















