SHAH ALAM – Selangor mempunyai bekalan air mentah yang mampu bertahan sehingga sembilan bulan sekiranya fenomena El Nino berlarutan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim.
Beliau berkata, tempoh itu merangkumi kapasiti simpanan sedia ada di empangan yang mampu bertahan selama enam bulan serta tambahan tiga bulan menerusi pelaksanaan Skim Simpanan Air Pinggiran Sungai Selangor (Selangor Off River Storage Scheme, SOS).
“Setakat ini, pelan kontingensi termasuk rasionalisasi bekalan air masih belum perlu diaktifkan kerana paras simpanan semua empangan berada pada tahap mencukupi.
“Pemantauan harian juga menunjukkan tiada empangan di Selangor mencatatkan paras simpanan di bawah 70 peratus,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai tahap kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam menghadapi fenomena El Nino dan monsun barat daya.
Menurut Izham, menerusi SOS, lebih 140 kolam telah dikenal pasti sebagai sumber air alternatif yang boleh diaktifkan menggunakan pam mudah alih bagi menyalurkan air ke sungai sekiranya berlaku penyusutan sumber air mentah.
Katanya, kerajaan negeri turut mengoptimumkan penggunaan air bawah tanah sebagai sumber alternatif yang dianggarkan mempunyai kapasiti antara 630 hingga 960 juta liter sehari.
“Keutamaan bekalan air akan terus diberikan kepada kegunaan minuman, sektor pertanian dan kesihatan awam,” jelasnya.
Beliau berkata, operasi pembenihan awan juga akan dilaksanakan sekiranya perlu dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Pada masa sama, katanya, pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan sumber air sensitif dipertingkatkan bagi mengelakkan peningkatan kepekatan ammonia ketika musim kering susulan paras sungai yang rendah.
“Apabila berlaku peningkatan kepekatan ammonia, langkah mitigasi termasuk pelepasan serta pengepaman air ke sungai akan dilaksanakan bagi menaikkan paras air dan mencairkan kandungan pencemar supaya operasi loji rawatan air tidak terjejas,” katanya.
Mengulas soalan tambahan mengenai persediaan menghadapi musim kering, Izham berkata, kerajaan negeri tidak menyediakan peruntukan tambahan kerana pendekatan yang dilaksanakan adalah meneruskan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada termasuk mengurangkan pelepasan air empangan mengikut keperluan.
Beliau berkata, penyelarasan bekalan air untuk sektor pertanian turut dilaksanakan bersama Pengurusan Air Selangor dan agensi berkaitan bagi memastikan kawasan sawah, menerima bekalan air yang mencukupi. – MalaysiaGazette
















