SHAH ALAM – Permintaan tinggi dadah melibatkan bunga ganja di benua Eropah dipercayai menjadi faktor utama lonjakan aktiviti penyeludupan barang terlarang itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket turut percaya KLIA mempunyai kelebihan tertentu berbanding lapangan terbang lain sebagai laluan transit ke Eropah.
“Berlandaskan jumlah tangkapan dan rampasan yang dibuat, saya boleh katakan ada sebab-sebab tertentu menjadikan KLIA sebagai hab mengeluarkan bunga ganja ini berbanding lapangan terbang lain.
“Mungkin di KLIA ini kurang diberi perhatian atau kurang kewaspadaan berbanding lapangan terbang lain tapi kita tidak mahu mengulas secara terperinci mengenai prosedur keselamatan di lapangan terbang lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Tambah beliau, bunga ganja mendapat permintaan tinggi di Eropah kebelakangan ini terutamanya sejak akhir tahun lepas hingga sekarang.
Jelas beliau, ia berdasarkan peningkatan hasil jumlah tangkapan dan rampasan di KLIA yang didakwa menjadi hab utama membawa keluar bunga ganja ke Eropah.
“Ada banyak faktor, mungkin bunga ganja banyak digunakan untuk perubatan di Eropah.
“Malah ia juga diekstrak dalam bentuk cecair dan sebagainya serta popular dalam penggunaan vape tapi yang pastinya permintaan bunga ganja di Eropah ini meningkat berkali-kali,” katanya lagi.
Mengulas lanjut katanya, polis percaya bekalan bunga ganja berkenaan dibawa masuk ke Malaysia melalui laluan laut dan darat di bahagian utara Semenanjung sebelum dihantar ke pasaran luar negara.
“Kira-kira 80 peratus bekalan yang masuk ke Malaysia dibawa keluar semula ke pasaran luar negara seperti Indonesia, Filipina dan beberapa negara lain,” katanya. – MalaysiaGazette
















