Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing merasmikan Minggu Acara Perniagaan Malaysia (MBEW) 2026.

KUALA LUMPUR – Malaysia  memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu destinasi acara perniagaan terkemuka di Asia dengan pelancaran Minggu Acara Perniagaan Malaysia (MBEW) 2026.

Ia adalah acara industri utama negara yang dianjurkan oleh Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB).

Diadakan dari 3 hingga 5 Ogos ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan edisi ke-11 MBEW menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri, persatuan, ahli akademik, pengendali lokasi, penganjur acara, pembekal dan pihak berkepentingan antarabangsa untuk bertukar-tukar idea, menjalin kerjasama strategik serta mencorakkan masa depan sektor berkenaan.

Ia dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Dalam ucapannya, King Sing menegaskan, komitmen berterusan kerajaan untuk memajukan industri acara perniagaan Malaysia sebagai pemacu strategik bagi pelancongan, pelaburan, pertukaran ilmu dan pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing selepas merasmikan Minggu Acara Perniagaan Malaysia (MBEW) 2026.

Setakat ini, MyCEB telah memperoleh lebih daripada 3,575 acara perniagaan, menarik lebih 4.5 juta perwakilan dan menjana impak ekonomi yang dianggarkan bernilai RM26.7 bilion untuk Malaysia.

Selain itu, sehingga 30 Jun 2026, MyCEB telah memperoleh 416 acara perniagaan antarabangsa yang dijadualkan antara tahun 2026 dan 2030 dengan Anggaran Impak Ekonomi (EEI) sebanyak RM3.98 bilion.

Pada separuh pertama tahun ini sahaja, MyCEB telah berjaya menganjurkan 194 acara perniagaan, menerima kehadiran 341,182 perwakilan serta menjana EEI sebanyak RM1.81 bilion.

Pencapaian itu mencerminkan keyakinan global yang semakin meningkat terhadap Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi acara perniagaan bertaraf dunia.

Tema tahun ini, Weaving Horizons: Shaping the
Tapestry of Tomorrow mengingatkan bahawa masa depan industri kita dibina melalui kerjasama.

Acara perniagaan pada masa kini bukan sekadar mesyuarat dan persidangan.

Ia merupakan platform berkesan menghubungkan pelbagai pihak, menarik pelaburan, memupuk inovasi, mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuh daya saing global Malaysia.

Pengerusi MyCEB, V. Sivakumar berkata, semua pihak mesti terus bekerjasama erat untuk membina ekosistem acara perniagaan yang lebih kukuh, berdaya tahan, dan mampan.

Semasa mengalu-alukan kehadiran para perwakilan ke MBEW 2026, Sivakumar menyatakan acara utama bukan sekadar satu perhimpunan tahunan.

“Malaysia Business Events Week telah berkembang menjadi pemangkin kepada kerjasama, inovasi dan kepimpinan pemikiran. Ia merupakan wadah di mana perbincangan bermakna bermula, perkongsian dijalin dan peluang-peluang baharu muncul.

“Saya menggalakkan setiap perwakilan untuk memanfaatkan platform ini bagi bertukar-tukar idea, membina jaringan yang berkekalan serta bersama-sama mencorakkan masa depan industri kita,” katanya.

Sementara itu, tiga teras Utama program adalah Hari Pendidikan pada 4 hingga 5 Ogos ini, pembentangan ucaptama, perbincangan panel dan sesi kumpulan kecil bersama pakar tempatan serta antarabangsa bagi membincangkan trend terkini dan inovasi sektor.

BE Xchange pada 3 hingga 5 Ogos pula melibatkan pertemuan perniagaan yang dijadualkan lebih awal menghubungkan 40 pempamer dengan 52 pembeli jemputan bagi mewujudkan kerjasama komersial.

Pameran produk pada tempoh yang sama juga diadakan seperti demonstrasi kraf tradisional, perusahaan komuniti dan jenama tempatan  mempamerkan warisan budaya Malaysia
bersama-sama tawaran perniagaannya.

Acara selama tiga hari itu menjangkakan kehadiran lebih 500 perwakilan dari Malaysia dan lapan negara lain turut mengambil bahagian.

Selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dan Malaysia MADANI, MBEW 2026 memperkukuh kedudukan negara sebagai hab serantau yang berdaya tahan, inovatif dan berdaya saing serta mampu memberikan impak ekonomi dan sosial yang berkekalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast