KUALA LUMPUR – INTI International University melancarkan Pusat Media yang telah dinaik taraf hasil pelaburan kira-kira RM2 juta dalam penyediaan ruang produksi, sistem teknikal serta peralatan profesional bagi memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran Program Komunikasi Massa.
Pusat Media itu menyokong Program Komunikasi Massa di bawah Fakulti Perniagaan dan Komunikasi dengan menyediakan akses kepada pelbagai kemudahan untuk produksi televisyen, pembikinan filem, fotografi, radio, podcast, produksi audio dan penstriman langsung.
Ketua Pegawai Eksekutif, INTI International University & Colleges, Dr Chong Kok Wai berkata, kerja-kerja naik taraf merangkumi studio, bilik kawalan produksi, studio podcast dan suite penyuntingan, selain penambahbaikan terhadap sistem pencahayaan, elektrik dan rangkaian, rawatan akustik serta perabot.
Katanya, peralatan profesional turut ditambah bagi menyokong pelbagai peringkat produksi media di mana pusat berkenaan kini dilengkapi studio produksi televisyen yang dilengkapi kamera berteknologi tinggi, bilik kawalan produksi, studio podcast, studio radio, bilik audio, studio fotografi dan kemudahan penyuntingan.
“Pelaburan tersebut bertujuan menyokong pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih praktikal, di samping memperkukuh persediaan graduan Komunikasi Massa.
“Ia juga dapat dilihat menerusi ruang dan peralatan yang terdapat di sekeliling kita. Bagaimanapun, nilai sebenarnya akan dapat dilihat melalui perkara yang mampu dilakukan oleh para pensyarah dan pelajar di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dr Chong menambah, melalui kemudahan tersebut, pelajar berpeluang menyediakan skrip, mengendalikan peralatan profesional, bekerja dalam pasukan produksi dan menilai semula hasil kerja mereka.
Menurutnya, mereka juga akan memperoleh pengalaman menghasilkan kandungan dalam pelbagai format dan platform, sejajar dengan skop kerjaya media yang semakin luas dan pelbagai.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Siti Nurbaayah Daud pula menyifatkan Pusat Media sebagai ruang yang membolehkan pelajar mengembangkan kreativiti dan meneroka kaedah baharu dalam menyampaikan komunikasi.
“Pusat Media ini bukan sekadar sebuah kemudahan tetapi merupakan platform yang menghidupkan idea, mencipta pelbagai cerita dan membantu bakal profesional media membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam landskap digital yang sentiasa berkembang,” katanya.
Menurut Siti Nurbaayah, kerjasama antara institusi akademik dan pihak industri amat penting dalam menyediakan pelajar bagi menghadapi perubahan tuntutan profesion.
Ketika menyampaikan pesanan kepada para pelajar, beliau menggalakkan mereka memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan peluang yang disediakan.
“Saya berharap para pelajar akan menggunakan kemudahan ini sepenuhnya untuk belajar, berkarya, berinovasi dan menghasilkan kandungan berimpak yang mencerminkan profesionalisme, integriti serta kreativiti,” katanya.
Majlis pelancaran itu dihadiri barisan pengurusan kanan INTI, pensyarah, pelajar serta pengamal media jemputan termasuk Ketua Penjenamaan dan Pemasaran Ideaktiv, Idzrona Azrani; selebriti dan personaliti media, Haris Ismail; penyampai radio Hitz FM, Zach Ryan; serta penerbit dan penyampai radio Radio Muzik RTM, Aliff Al-Farabby.
Selepas majlis pelancaran, para tetamu dibawa melawat studio televisyen, bilik kawalan produksi, studio podcast, studio radio, bilik audio dan studio fotografi sebelum menyertai sesi jaringan bersama ahli fakulti serta para pelajar. – MalaysiaGazette
















