SHAH ALAM – Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, Indonesia atas dakwaan terlibat dalam pengedaran dadah, susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia Airlines di Jakarta baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan berhubung kes terbaharu itu yang melibatkan lelaki tempatan berusia 22 tahun dari Johor.
“Ya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman juga akan mengambil tindakan susulan terhadap kes ini.
“Suspek ditahan bersama empat paket’ syabu’ Methamphetamine seberat kira-kira satu kilogram dan empat paket kira-kira 1,000 biji pil ekstasi (MDMA).
“Semuanya diletakkan pada badan suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu media Indonesia melaporkan, seorang lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dipercayai cuba menyeludup hampir satu kilogram syabu dan lebih 1,000 biji pil ekstasi menggunakan kaedah body wrap di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, Jawa Timur.
Suspek berusia 22 tahun yang menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur itu ditahan sejurus tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda.
Komander Pangkalan Udara Tentera Laut (Lanudal) Juanda, Kolonel Henoch Nasarius Virzawan dilaporkan berkata, penahanan dibuat hasil maklumat risikan daripada Pasukan Kastam Juanda mengenai seorang penumpang yang disyaki membawa dadah.
Menurutnya, sebaik menerima maklumat sekitar jam 9.50 pagi waktu tempatan, operasi bersepadu segera dilancarkan dengan anggota ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk kawasan apron, pemeriksaan imigresen dan mesin pengimbas x-ray kastam.
Hasil pemeriksaan mendapati, suspek membawa 990 gram syabu dan 1,089 biji pil ekstasi dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah IDR2.9 bilion (kira-kira RM658,000).
Suspek bersama semua barang rampasan diserahkan kepada Polis Daerah Sidoarjo untuk siasatan dan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















