Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan barang rampasan pada sidang media berikutan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis DiRaja Malaysia dalam menumpaskan sidiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan dan antarabangsa di IPK Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 04 OGOS 2026.

SHAH ALAM – Statitik rampasan dadah dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) catat peningkatan enam kali ganda kepada 1.3 tan berbanding hanya 235 kilogram (kg) bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia turut merekodkan lonjakan nilai keseluruhan rampasan kira-kkira RM 108.35 juta berbanding RM18.4 juta pada tempoh sama tahun 2025.

“Bagi tempoh sama tahun ini, 108 kes telah direkodkan berbanding 54 kes pada 2025, manakala jumlah tangkapan meningkat kepada 121 individu berbanding 57 orang dengan 42 warga asing ditahan disyaki terlibat dalam aktiviti edar dan seludup dadah melalui KLIA.

“Kejayaan ini menunjukkan tindakan penguatkuasaan yang lebih agresif dan berskala besar hasil kerjasama strategik antara PDRM, dengan pelbagai agensi di KLIA.

“Ia termasuk Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB), Polis Bantuan dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS),” katanya sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Wajah suspek-suspek pengedar dadah dipaparkan pada sidang media berikutan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis DiRaja Malaysia dalam menumpaskan sidiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan dan antarabangsa di IPK Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 04 OGOS 2026.

Dalam perkembangan berasingan, Hussein berkata seramai 13 individu yang bertindak sebagai keldai dadah ditahan menerusi OPS KLIA Bilangan 1/2026 pada 27 hingga 31 Julai lalu.

Katanya, tangkapan terdiri daripada tiga lelaki tempatan, dua wanita tempatan, enam lelaki warga asing dan dua warga asing yan berusia 18 hingga 53 tahun.

“Rampasan melibatkan 260kg bunga ganja dan satu kilogram  kokain bernilai RM21.26 juta dan mampu merosakkan seramai 525,226 orang yang menggunakannya dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana sindiket yang menjadikan KLIA atau mana-mana pintu masuk negara sebagai laluan penyeludupan dadah.

“Kerjasama dengan semua agensi berkaitan sempadan akan terus diperkukuhkan bagi mengesan memburu dan melumpuhkan sindiket sehingga akar umbi,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast