Zulkifli (tiga sari kanan) majlis penyerahan zakat perniagaan kepada MAIWP serta pelancaran Program Insentif Perkahwinan Asnaf Wilayah Persekutuan Menara Merdeka 118 Maybank, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 600 pasangan asnaf di Wilayah Persekutuan bakal menerima insentif perkahwinan berjumlah RM3 juta dengan setiap pasangan menerima RM5,000 bagi membantu mereka memulakan kehidupan baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, pada masa sama, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM6.5 juta menerusi kerjasama dengan Maybank dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

Beliau berkata, program berkenaan membuktikan komitmen dan kerjasama erat antara MAIWP, PPZ dan Maybank dalam memperkasa golongan asnaf menerusi pelbagai inisiatif yang memberi impak kepada kehidupan mereka.

“Pada hari ini kita menerima zakat sebanyak RM6.5 juta dan insentif perkahwinan asnaf berjumlah RM3 juta. Setiap penerima akan menerima RM5,000 bagi membantu mereka memulakan kehidupan baharu melalui perkahwinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan zakat perniagaan kepada MAIWP serta pelancaran Program Insentif Perkahwinan Asnaf Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli dan Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Menurut Zulkifli, insentif perkahwinan itu bukan perkara baharu kerana MAIWP telah melaksanakannya sebelum ini namun program kali ini merupakan kerjasama khas dan unik bersama Maybank yang memberi manfaat kepada 600 penerima.

Katanya, bantuan akan diberikan secara tunai manakala syarat dan kriteria penerima akan diuruskan oleh pihak yang berkaitan bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan asnaf yang benar-benar layak.

“Program ini adalah satu usaha yang sangat bermakna untuk membantu asnaf memulakan kehidupan baharu khususnya mereka yang ingin mendirikan rumah tangga.

“Kita berharap usaha memperkasakan asnaf ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik pada masa depan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, MAIWP turut memperkukuh sistem pengurusan zakat menerusi penggunaan teknologi digital bagi memastikan proses mengenal pasti penerima dan menyalurkan bantuan dapat dilakukan dengan lebih cekap.

Katanya, MAIWP telah memperkenalkan platform digital asnaf yang menggabungkan teknologi dan pendekatan kemanusiaan, termasuk penggunaan papan pemuka serta peta haba bagi membantu mengenal pasti keperluan asnaf.

“Ini membantu MAIWP membuat keputusan dengan lebih tepat, melaksanakan agihan dengan lebih baik serta mengenal pasti asnaf yang memerlukan bantuan dengan lebih cepat.

“Pada masa sama, ia dapat mengurangkan ketirisan dan memastikan bantuan yang diberikan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan merupakan antara usaha MAIWP untuk mengoptimumkan kecekapan dan keberkesanan kutipan serta agihan zakat kepada golongan sasaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast