SHAH ALAM – Taktik penyeludupan dadah yang menggunakan laluan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dipertingkatkan terutama di bahagian saringan dan imbasan bagasi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu telah dipersetujui dalam mesyuarat peringkat tertinggi bersama Kementerian Pengangkutan (MOT), pihak berkuasa lapangan terbang dan agensi berkaitan yang diadakan semalam.
“Ini perkara yang telah bincangkan dengan MOT dan bersetuju untuk mewujudkan keperluan memperketatkan dan menambah baik lagi prosedure pemeriksaan di KLIA.
“Keutamaan semasa (imbasan) lebih tertumpu kepada senjata api dan barangan terlarang lain. Kini kami bersetuju untuk dadah juga perlu dimasukkan sebagai satu prioriti dalam tahap keselamatan, so that will be the idea and thing all the agency will follow up on,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Tambah Hussein, sistem saringan lapangan terbang secara amnya mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) walaupun keutamaan operasi berbeza antara lapangan terbang.
Susulan itu, katanya, satu cadangan sedang dipertimbangkan bagi meningkatkan sistem saringan melibatkan mesin imbasan supaya ia boleh mengesan atau memberi amaran secara automatik apabila terdapat dadah disyaki dalam bagasi.
“MOT dijangka akan mengadakan beberapa siri mesyuarat susulan untuk meneliti penambahbaikan terhadap prosedur keselamatan dan sistem saringan KLIA,” jelasnya.
Semalam media melaporkan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memberi jaminan akan terus memperkukuh kerjasama bersama agensi penguat kuasa dalam memastikan keselamatan sempadan negara terpelihara daripada sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
MAHB dilaporkan berkata, sebagai pengendali lapangan terbang, pihaknya sentiasa meletakkan keselamatan dan sekuriti penumpang sebagai keutamaan utama.
Menurutnya, usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama rapat bersama pihak berkuasa berkaitan termasuk perkongsian maklumat serta koordinasi operasi bagi menangani sebarang ancaman di lapangan terbang.
MAHB berkata, pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) bertanggungjawab mencegah tindakan campur tangan yang menyalahi undang-undang yang boleh menjejaskan keselamatan dan sekuriti penerbangan awam serta pengangkutan udara.
Katanya, AVSEC melaksanakan protokol keselamatan ketat serta menggunakan sistem pemeriksaan canggih yang ditentukan bagi mengesan ancaman seperti bahan letupan, senjata dan barangan berbahaya lain. – MalaysiaGazette
















