SHAH ALAM – Tindakan dua lelaki yang memunggah guni disyaki berisi dadah ke dalam dua kenderaan jenis Proton X70 di Sungai Buloh dekat sini berjaya ditumpaskan dengan rampasan bernilai RM20.74 juta pada minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 24 dan 26 tahun itu ditahan menerusi dua serbuan Ops Kalidasa.
“Serbuan pertama di kawasan Batu 22, Mukim Ijok, Jalan Kuala Selangor pada 29 Julai dan hasil pemeriksaan menemui 21 guni plastik warga putih mengandunjgi 409 bungkusan berisi ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine 409.40 kilogram (kg).
“Susulan tangkapan itu, serbuan kedua dijalankan di sebuah rumah sekitar Taman Putra Damai, Petaling Jaya dan hasil pemeriksaan menemui 900 katrij vape yang mengandungi cecair disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran isipadu 1.8 liter,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Tambah Hussein, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM20.7 juta dan mampu merosakkan kira-kira 2.04 juta pengguna.
“Hasil siasatan mendapati, kedua-dua suspek didapati berperanan sebagai transporter manakala sindiket ini dipercayai aktif sejak Januari 2026.
“Semakan mendapati mereka didapati positif dadah jenis ganja dan suspek pertama dikesan mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala suspek kedua pula satu rekod jenayah.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos ini dan kes sedang disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















