Md Rozamusliadi (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Fuad (tiga kiri) disaksikan Chin Teck (dua kanan) semasa melawat rumah yang terbakar di Kampung Solok, Tangkak, hari ini.

TANGKAK – Koleksi hasil seni dikumpul seorang pesara warga emas sejak bertahun lamanya musnah dalam kebakaran di Kampung Solok di sini hari ini.

Mohd Fuad Ahmad, 65, kehilangan koleksi amat berharga apabila rumahnya terbakar melibatkan bilik tidur dan ruang belakang yang turut dijadikan ruang penyimpanan koleksi berkenaan.

“Koleksi hasil seni yang dikumpulkan sejak beberapa tahun lalu musnah sekelip mata dan kejadian ini meninggalkan kenangan yang tidak ternilai.

”Namun saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa melibatkan keluarga walaupun koleksi kesayangan musnah terbakar,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Solok.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Datuk Haw Chin Teck yang dalam perjalanan pulang ke Pusat Khidmat ADUN Tangkak bergegas menziarahi mangsa sebaik sahaja dimaklumkan kejadian berkenaan.

Beliau bersama-sama Ketua Kampung Solok, Abd Ghafar Osman menziarahi mangsa bagi meninjau keadaan mereka selain memberi kata-kata semangat.

”Kami amat bersimpati dengan kejadian yang menimpa keluarga Mohd Fuad dan berharap beliau tabah dalam menghadapi ujian yang menimpa.

”Kami akan terus mengikuti perkembangan mangsa dan menghulurkan bantuan sewajarnya bagi membolehkan beliau meneruskan kehidupan dalam keadaan lebih selesa,” katanya selepas menziarahi keluarga Mohd Fuad.

Chin Teck berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak, agensi berkaitan dan penduduk kampung yang tampil membantu.

Pegawai Daerah Tangkak, Md Rozamusliadi Roslan turut hadir dan menyampaikan bantuan awal kepada keluarga Mohd Fuad bagi meringankan beban mereka.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast