KULAI – Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan di kilometer 2 Jalan Senai-Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima makluman berhubung kejadian tersebut pukul 10 malam.
“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan jip. Semasa kejadian motosikal dari arah Pasaraya Econsave membelok ke kanan menghala senai manakala jip dari arah Senai menghala ke LTAS.
“Siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki tempatan, 20, dan pembonceng lelaki tempatan, 22, semasa sedang membelok dilanggar jip berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semasa kejadian jip berkenaan yang dipandu lelaki warga tempatan, 19, sedang bergerak lurus.
Katanya, akibat kemalangan itu penunggang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital manakala pembonceng mengalami kecederaan ringan.
Beliau memberitahu, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seng Lee meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim 017-7573507.- MalaysiaGazette
















