KUALA LUMPUR – Seramai 36 pelajar dari Indonesia memulakan pengalaman pembelajaran dan penerokaan budaya di Malaysia apabila menyertai Program Pemerkasaan Kemahiran Bahasa Arab dan Mengenali Malaysia anjuran Al-Madinah International University (MEDIU).
Program sulung hasil kerjasama MEDIU bersama Yayasan Restu, Kolej Antarabangsa Restu dan Nasyrul Quran turut melibatkan tiga guru pengiring dari Pesantren Darul Arafah Raya, Medan, Sumatera Utara.
Selain mengukuhkan penguasaan bahasa Arab, program selama 14 hari itu turut membuka ruang kepada peserta mengenali sistem pendidikan tinggi dan budaya Malaysia dengan lebih dekat.
Pengarah Pusat Pengajian Persediaan dan Bahasa MEDIU, Penolong Profesor Dr. Nur Farhana Mohamad Zainol berkata, modul pembelajaran memberi tumpuan kepada empat kemahiran utama bahasa Arab iaitu membaca, menulis, mendengar dan bertutur menerusi pendekatan intensif.
“Program ini bukan sekadar meningkatkan penguasaan bahasa Arab malah menjadi platform persediaan kepada pelajar yang bercadang menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi di Timur Tengah seperti Al-Azhar di Mesir, Arab Saudi dan Maghribi.
“Mereka akan menerima sijil penyertaan serta sijil Ikhtibar Hamzah yang boleh dijadikan nilai tambah ketika memohon kemasukan ke universiti kerana ia merupakan penilaian kompetensi bahasa Arab yang setanding konsep IELTS atau TOEFL (bagi bahasa Inggeris),” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sepanjang program, peserta akan mengikuti pembelajaran selama 24 jam yang dikendalikan pensyarah MEDIU sebelum menduduki ujian Ikhtibar Hamzah pada hari ke-13.

Lawatan pertama mereka bermula di Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya, di mana peserta diberi peluang melihat sendiri proses penerbitan mushaf al-Quran, mendengar penerangan mengenai mushaf Malaysia dan antarabangsa serta melawat galeri manuskrip al-Quran dan pusat percetakan.
Turut hadir Dekan Hal Ehwal Pelajar MEDIU, Syazwan Khalis Idrus serta Penyelaras Program, Siti Nurbaini Ishak.
Menurut Dr. Nur Farhana, peserta bukan sahaja mengikuti kelas bahasa Arab, malah akan didedahkan dengan seni khat melalui kerjasama Kolej Antarabangsa Restu.
“Para pelajar juga akan menyertai sesi kaligrafi bersama pensyarah Pengajian Seni Mushaf Kolej Antarabangsa Restu,” katanya.
Bersempena Bulan Kebangsaan, peserta turut dijadual melawat beberapa lokasi ikonik termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka, Menara Berkembar Petronas (KLCC), Putrajaya, Perpustakaan Negara Malaysia serta beberapa universiti tempatan bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai budaya dan landskap pendidikan negara.
Pegawai Perhubungan Awam MEDIU, Jamaluddin Hussain berkata, program itu diharap menjadi permulaan kepada hubungan pendidikan yang lebih erat antara Malaysia dan Indonesia.
“Melalui program ini, kami bukan sahaja mahu meningkatkan kemahiran bahasa Arab peserta malah memperkenalkan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau yang menawarkan pelbagai peluang kepada pelajar antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, guru Bahasa Arab, Heri Yudanto menyifatkan penyertaan kumpulan pertama dari Pesantren Darul Arafah Raya sebagai peluang berharga kepada pelajar untuk menggabungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman lapangan.
Katanya, majoriti peserta berusia antara 15 hingga 18 tahun dan sedang membuat persediaan melanjutkan pengajian ke Timur Tengah.a.
Sepanjang berada di Malaysia, semua peserta ditempatkan di Riyadh Restu, Kuang, Selangor dengan kemudahan penginapan dan makanan yang disediakan melalui sokongan Yayasan Restu.
Program itu akan diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian sijil sebelum mereka pulang ke Indonesia. – MalaysiaGazette
















