Leong Kiew Hau

BENTONG – Polis Daerah Bentong sedang mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 28 Julai lalu dan meminta kerjasama orang ramai menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu usaha mengesan mangsa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihaknya menerima laporan orang hilang membabitkan Leong Kiew Hau, 35, pada kira-kira pukul 4.36 petang hari ini.

Menurutnya, laporan berkenaan dibuat oleh ibu saudara mangsa yang berusia 52 tahun selepas mendapati anak saudaranya gagal dikesan sejak lebih seminggu lalu.

“Siasatan awal mendapati kali terakhir pengadu bertemu mangsa adalah pada 28 Julai 2026 ketika mangsa berada di kediamannya di Taman Sri Bukit Tinggi, Bentong, Pahang.

“Sejak itu, mangsa tidak dapat dihubungi dan keberadaannya sehingga kini masih belum diketahui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa berbangsa Cina, berkulit cerah, berketinggian kira-kira 169 sentimeter, berbadan sederhana dengan anggaran berat 52 kilogram.

“Bagaimanapun, pakaian yang dipakai mangsa ketika kali terakhir dilihat tidak dapat dipastikan,” katanya.

Zaiham berkata, polis kini sedang menjalankan usaha mengesan mangsa termasuk mengedarkan hebahan orang hilang kepada semua balai polis di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong serta mendapatkan kerjasama orang ramai.

Katanya, orang ramai yang pernah melihat mangsa atau mempunyai maklumat mengenai lokasi terkini Leong Kiew Hau diminta segera menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Bentong di talian 09-2231999.

Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran termasuk Balai Polis Bentong, Genting Highlands, Karak, Lurah Bilut, Manchis, Bukit Tinggi dan Telemong.

“Kerjasama orang ramai amat dihargai kerana setiap maklumat yang diterima berkemungkinan dapat membantu mengesan mangsa dengan lebih cepat,” katanya.

Polis turut menggesa mana-mana individu yang mengenali  Kiew Hau atau mempunyai maklumat mengenai pergerakannya sejak 28 Julai lalu supaya tampil membantu siasatan bagi memastikan mangsa dapat dikesan dengan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast