KUALA LUMPUR – Lima kertas siasatan dibuka berhubung berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tindakan itu susulan penerimaan sembilan laporan polis daripada TH, anak syarikat TH dan orang awam.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Dalam usaha melengkapkan siasatan, tindakan sedang diambil untuk merakam keterangan saksi-saksi dari dalam dan luar negara selain mendapatkan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PDRM komited memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.
Katanya, mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan.
“Sebarang kenyataan atau penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan.
“Orang ramai diseru mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi,” jelasnya.
Terdahulu, RCI TH mendedahkan, wujudnya pelaburan bermasalah, transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat dilakukan oleh anak syarikat agensi itu.
Menurut laporan suruhanjaya berkenaan, proses membuat keputusan pelaburan oleh TH (ketika itu dinamakan Lembaga Tabung Haji) tidak teratur.
Laporan itu menyebut, tiada koordinasi di antara Ketua Pegawai Pelaburan (CIO), Ketua Kewangan Korporat (CF), Ketua Pegawai Hartanah dan Ketua Bahagian Perbendaharaan menyebabkan aliran proses pelaburan menjadi tidak jelas. – MalaysiaGazette
















