KUALA LUMPUR – Bekas ketua pegawai kewangan (CFO) sebuah syarikat milik badan berkanun hari ini disambung rakaman percakapan susulan siasatan terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Lelaki berusia 60 tahun itu dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa pembelian saham dua buah syarikat perladangan bernilai kira-kira RM370 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, rakaman percakapan itu dijalankan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini yang berlangsung lebih enam jam selepas lelaki itu hadir sekitar 10.30 pagi tadi.
“Hari ini merupakan hari kedua rakaman percakapan individu ini diambil selepas dibebaskan semalam.
“Rakaman percakapan terhadap individu ini diteruskan bagi melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan berhubung hasil penemuan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji dan selesai kira-kira 5 petang,” katanya dalam kenyataa hari ini.
Bagaimanapun, katanya, hanya bekas CFO yang hadir manakala bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) berusia 68 tahun tidak hadir atas faktor kesihatan.
Tambah beliau, rakaman percakapan akan bersambung untuk hari kedua esok pada jam 10 pagi.
Terdahulu, SPRM melaporkan, bekas CEO dan bekas CFO milik badan berkanun ditahan susulan siasatan terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Kedua-dua individu itu disyaki menyalahguna kuasa dalam proses pembelian saham dua buah syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Mereka telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat sprm putrajaya 6.30 petang semalam.
Bagaimanapun, mereka dibebaskan malam tadi atas faktor kesihatan dan akan hadir semula ke sprm pukul 10 pagi bagi disambung rakaman percakapan.
Tangkapan itu adalah susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan RCI TH yang didedahkan kepada pada 29 Julai lalu. – MalaysiaGazette
















