KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2026 bakal dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum akhir tahun ini.
Menurut pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, 80 peratus intipati RUU tersebut adalah untuk memperkemaskan tadbir urus MARA.
“Draf cadangan pindaan dan penggubalan Akta MARA yang baharu ini sudah melalui pelbagai proses panjang dan mendapat maklum balas pelbagai kumpulan pemegang taruh termasuk daripada Kementerian-Kementerian yang berkaitan,” katanya menerusi hantaran di media Facebook hari ini.
Katanya lagi, antara komponen penting dalam draf tersebut adalah memastikan aspek tadbir urus dan disiplin kewangan MARA diperketatkan dan diperkemaskan sejajar dengan piawaian tadbir urus korporat antarabangsa.
Jelas beliau, ia bagi mengelak penyelewengan sama ada dalam bentuk salah guna kuasa, rasuah, pemborosan yang boleh meruntuhkan institus dan ekonomi anak bangsa tidak berlaku hanya kerana kelemahan tadbir urus.
Pada Jun lalu, Asyraf Wajdi mengesahkan kertas dasar bagi penggubalan Akta MARA 2026 sudah diluluskan oleh Jemaah Menteri.
Terdahulu pada Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan MARA mempercepatkan penyediaan pindaan akta baharu itu memperkukuh tadbir urus serta peranan agensi itu dalam pembangunan Bumiputera.- MalaysiaGazette
















