SEREMBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman menafikan dakwaan kononnya Pakatan Harapan (PH) akan menyertai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang sedang dalam proses pembentukan.
Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai kenyataan melulu dan tidak berasas, selain menegaskan perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam kalangan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang baru diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Menurutnya, sekiranya penyertaan PH dalam pentadbiran negeri benar-benar menjadi pertimbangan, sudah pasti semua ADUN BN akan dimaklumkan dan dibawa berbincang terlebih dahulu.
“Namun sehingga hari ini, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan langsung.
“Justeru, saya berharap semua pihak memberi ruang kepada YAB Datuk Ismail Lasim untuk melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang telah diberikan kepadanya.
“Rakyat Negeri Sembilan telah membuat pilihan. Kini masanya untuk kita bekerja demi kepentingan rakyat, bukannya terus membuang masa dengan permainan politik sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saiful Yazan berkata, semua pihak sewajarnya menghormati mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya lalu dan mengelakkan penyebaran spekulasi yang boleh mengganggu proses pembentukan pentadbiran negeri.
Katanya, fokus utama ketika ini ialah memastikan kerajaan baharu dapat dibentuk dengan lancar bagi meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat Negeri Sembilan.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melalui beberapa sumber melaporkan bahawa belum wujud persefahaman yang benar-benar harmoni antara BN dan Perikatan Nasional (PN) berhubung pembentukan pentadbiran baharu negeri.
Laporan itu turut menyebut timbul spekulasi mengenai kemungkinan wakil PH disenaraikan dalam barisan Exco, selain dakwaan terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan pimpinan gabungan berhubung pembahagian portfolio.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang pengesahan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan negeri berhubung dakwaan tersebut.
Ismail Lasim sebelum ini memaklumkan senarai Exco Negeri Sembilan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas perbincangan dengan kepimpinan parti-parti berkaitan. -MalaysiaGazette
















