KUALA LUMPUR – Pasukan peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Razak hari ini memohon untuk memadam sebahagian besar pernyataan saksi Tony Pua yang dikemukakan pada perbicaraan kes saman AS$5.6 billion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap tujuh pihak termasuk bekas Perdana Menteri.
Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah ketika membantah pernyataan itu berhujah, sebahagiannya tidak wajar diterima masuk sebagai keterangan kerana bersifat dengar cakap dan bersandarkan kepada pandangan politik.
Tony yang pernah menganggotai Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sepatutnya dipanggil sebagai saksi kedua plaintif (1MDB) pada perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah, pernyataan itu mengandungi pendapat peribadi beliau dan laporan media yang tidak boleh diterima sebagai bahan bukti di mahkamah.
“Pihak defendan tidak membantahnya jika ia menyentuh penglibatan langsung Tony dalam PAC atau sidang Parlimen, namun beliau membuat pernyataan bersumberkan daripada pihak ketiga,” ujarnya.
Menurut beliau, bekas wakil rakyat DAP tersebut memetik laporan media bagi menyokong keterangannya berhubung peristiwa yang berlaku dan kaitannya dengan iklim politik ketika siasatan kes 1MDB sedang giat dijalankan.
Muhammad Shafee selanjutnya menghujahkan, Tony turut memberikan pendapatnya dalam beberapa perenggan yang menyentuh penyingkiran bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, walhal ia diberikan tanpa mengetahui sebab sebenar pertukaran tersebut.
Peguam berkata Tony malah memetik kenyataan beberapa pihak lain yang tidak berada di mahkamah yang tidak memungkinkan mereka disoal balas pada prosiding saman itu.
“Tony sepatutnya bergantung kepada hansard Parlimen dan laporan PAC, bukannya tafsiran peribadi bagi menyokong keterangannya di mahkamah,” ujar beliau.
Sementara itu, peguam Lee Shih mewakili 1MDB memaklumkan, mereka memerlukan masa untuk menyediakan penghujahan bagi menjawab bantahan awal tersebut.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus kemudian menetapkan perbicaraan bersambung esok.
Syarikat pelaburan strategik negara itu dan empat yang lain menyaman Najib dan enam pihak bagi menuntut ganti rugi terhadap penyelewengan yang dilakukan mereka sehingga menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berbilion ringgit.
Plaintif mengemukakan lapan kausa tindakan terhadap Najib iaitu penipuan, kecuaian, pelanggaran kewajipan fidusiari, pecah amanah, konspirasi, tort salah laku dalam jawatan awam, pengayaan tidak adil, dan penerimaan amanah konstruktif.
Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion.
Pada 7 Mei 2021, writ saman terbabit pada asalnya difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikat kepada 15 defendan termasuk Najib.
Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat, Jasmine Loo Ai Swan dan Ashvin Jethanand Valiram.
Defendan lain, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Azmi Tahir dan Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.
Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya menggugurkan tujuh daripada 15 defendan. Mereka ialah Che Lodin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Jethanand, Shahrol Azral, Mohd Hazem dan Azmi manakala Jasmine juga tidak tersenarai sebagai defendan – MalaysiaGazette
















