KUALA LUMPUR – UMNO Kedah mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dan setakat ini belum ada sebarang perbincangan dibuat peringkat negeri.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang arahan daripada pimpinan tertinggi parti berkaitan langkah susulan berhubung persefahaman berkenaan.
“UMNO Kedah juga sehingga kini belum menerima sebarang arahan daripada pimpinan tertinggi bagi sebarang tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO Kedah bersedia bekerjasama dalam apa jua ruang lingkup yang ditetapkan sekiranya menerima arahan daripada kepimpinan parti.
“Sekiranya diarahkan, UMNO Kedah tiada masalah untuk bekerjasama dalam apa jua ruang lingkup yang ditetapkan,” katanya.
Mengulas mengenai persefahaman BN-PN, Shaiful Hazizy berkata, langkah itu dilihat positif sebagai usaha mengelak pertembungan yang boleh menyebabkan perpecahan undi Melayu namun ia masih merupakan langkah awal ke arah kerjasama politik yang lebih besar.
Menurut beliau, sebarang formula agihan kerusi antara kedua-dua pihak perlu mengambil kira realiti politik semasa dan tidak hanya bergantung kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
“Formula agihan kerusi perlu berdasarkan keadaan dan realiti semasa. Rekod PRN yang lalu tidak harus dijadikan satu-satunya sandaran terhadap apa jua formula.
“UMNO Kedah berpandangan sentimen politik ketika ini berubah dengan begitu pantas. Justeru, keputusan PRN yang lalu tidak seharusnya dijadikan asas untuk memulakan sebarang perbincangan pengagihan kerusi atau sebarang bentuk kerjasama politik,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua pihak perlu berlapang dada menilai serta mengkaji perubahan sentimen politik susulan momentum PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“UMNO Kedah percaya perkara itu merupakan indikator dan kayu ukur sebenar bagi memastikan sebarang persefahaman yang dibentuk benar-benar mengambil kira kehendak semasa rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















