Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap ketika ditemui hadir pada Majlis Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) optimis momentum kemenangan yang disifatkan sebagai “Gelombang Biru” akan terus merebak ke Melaka selepas kejayaan gabungan itu di Johor dan Negeri Sembilan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebangkitan sokongan terhadap BN membuktikan rakyat semakin yakin terhadap gabungan itu, namun segala bentuk kerjasama politik tetap bergantung kepada rundingan yang akan diadakan.

Menurut beliau, perkembangan politik itu bukan sekadar berdasarkan sentimen semasa, sebaliknya dipacu oleh keikhlasan serta kejujuran semua pihak dalam membentuk persefahaman.

“Gelombang Biru bermula dari Johor, kemudian menjalar ke Negeri Sembilan dan Insya-Allah akan sampai ke Melaka.

“Kita melihat kecenderungan rakyat terhadap politik bergantung kepada keikhlasan dan kejujuran dalam setiap rundingan yang akan dilakukan,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada perkembangan tersebut menjadi petanda kepada hala tuju menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Dalam masa sama, Zahid memberi bayangan bahawa sebarang kerjasama politik hanya akan diputuskan selepas perbincangan menyeluruh antara parti-parti terlibat.

“Ia tergantung kepada keikhlasan dan kejujuran mereka di dalam sebuah rundingan yang akan dilakukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast