KUALA LUMPUR – Senator Sheikh Umar Bagharib Ali mempertahankan pemimpin bukan Islam yang menyumbang kepada kepentingan masyarakat Islam, sambil menyifatkan tindakan Pemuda UMNO memperlekeh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung isu tahlil sebagai tidak wajar.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor itu berkata, Islam mengajar Allah SWT boleh menjadikan sesiapa sahaja sebagai asbab untuk membawa manfaat kepada agama, termasuk individu bukan Islam.
“Saya sedih apabila Pemuda UMNO yang sinonim memperjuangkan Melayu Islam memperlekeh Anthony dengan isu tahlil, sedangkan inisiatif Sim telah memberi manfaat kepada Melayu Islam kita,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini ketika mengulas polemik melibatkan Anthony serta membandingkannya dengan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Bagi menyokong pandangannya, Sheikh Umar memetik hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud Allah boleh menguatkan agama melalui seseorang yang tidak soleh.
Menurutnya, syarah oleh ulama seperti Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan individu yang dimaksudkan boleh terdiri daripada mereka yang memiliki kepakaran atau kekuatan sehingga akhirnya memberi manfaat kepada umat Islam, walaupun bukan dalam kalangan orang yang soleh.
Beliau berkata, sebahagian ulama turut berpandangan bahawa prinsip tersebut boleh merangkumi orang bukan Islam kerana Allah berkuasa menggunakan sesiapa sahaja bagi mencapai hikmah dan maslahah yang dikehendaki-Nya.
“Prinsip yang lebih umum ialah kekuasaan Allah boleh menjadikan sesiapa sahaja sebagai sebab tertegaknya keadilan Islam, termasuk oleh orang bukan Islam,” ujar beliau.
Sheikh Umar turut memberikan contoh dalam sirah Nabi Muhammad SAW apabila Abdullah Urayqit yang ketika itu belum memeluk Islam menjadi penunjuk jalan Rasulullah SAW semasa peristiwa hijrah.
Beliau berkata, Mut’im Ibn Adi juga pernah memberikan perlindungan kepada Rasulullah SAW selepas Baginda pulang dari Taif, menunjukkan bantuan daripada bukan Islam boleh menjadi sebahagian daripada hikmah yang ditentukan Allah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pandangan itu tidak bermaksud Islam meredai kekufuran atau meletakkan soal akidah di tempat kedua, sebaliknya hanya menjelaskan bahawa Allah berkuasa menggunakan sesiapa sahaja sebagai asbab untuk menegakkan kebenaran dan membawa manfaat.
Sehubungan itu, Sheikh Umar mengingatkan umat Islam supaya tidak menolak sesuatu kebaikan hanya kerana ia datang daripada individu berlainan agama atau kaum, sebaliknya menilai sumbangan berdasarkan manfaat yang dibawa kepada masyarakat.
Dalam masa sama, beliau berkata orang beriman dituntut menggabungkan kompetensi, integriti dan kesolehan kerana itulah keadaan yang paling sempurna di sisi Allah. -MalaysiaGazette
















