Mila Jirin merupakan juara Akademi Fantasia musim kelima serta pengasas katering Bizmilla.

KUALA LUMPUR – Selepas lebih sedekad memberi tumpuan kepada dunia keusahawanan dan membina jenama Bizmilla, juara Akademi Fantasia musim kelima, Mila Jirin akhirnya kembali ke dunia muzik menerusi single terbaharu berjudul Tersimpan Dalam Hati.

Kembalinya Mila bukan sekadar membawa sebuah lagu baharu namun ia merupakan perjalanan pulang seorang penyanyi yang tidak pernah benar-benar meninggalkan cintanya terhadap muzik.

Tersimpan Dalam Hati karya balada moden mengangkat tema cinta, kerinduan, harapan dan impian yang dipendam.

Namun bagi Mila, lagu ini bukan sekadar sebuah karya baharu sebaliknya sebuah refleksi perjalanan hidup yang dilalui sepanjang lebih sedekad sebagai usahawan, isteri, ibu dan anak seni.

Ramai mengenali Mila sebagai penyanyi yang kemudiannya membina Bizmilla menjadi sebuah jenama yang sinonim dengan industri perkahwinan, katering dan dewan bankuet di Malaysia.

Namun di sebalik pencapaian tersebut, beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan pelbagai cabaran ekonomi yang turut memberi kesan kepada industri acara dan hospitaliti.

Seperti kebanyakan syarikat dalam industri ini, pelbagai keputusan besar terpaksa dibuat demi memastikan operasi syarikat terus kukuh dan peluang pekerjaan ratusan kakitangan dapat dikekalkan.

Di tengah-tengah tanggungjawab tersebut, impian untuk kembali ke dunia muzik hampir terkubur.

“Ada ketika saya sendiri tertanya-tanya sama ada impian untuk kembali menyanyi masih ada ruang dalam hidup saya tetapi saya percaya, jika sesuatu impian itu benar-benar ikhlas, Allah akan menemukan jalannya pada waktu yang paling tepat.

“Walaupun jadual perniagaan semakin padat, keinginan untuk kembali berkarya tidak pernah hilang dan impian itu tidak pernah mati,” katanya pada pelancaran single itu baru-baru ini.

Mila Jirin mengumumkan bahawa dia kini sedang menyiapkan sebuah album baharu.

Bagi memastikan projek comeback tampil dengan kualiti terbaik, Mila memilih untuk menjalani keseluruhan proses rakaman di Jakarta bersama komposer Indonesia, Ilham Baso sambil bekerjasama dengan pasukan Nova Music bagi urusan pengedaran digital.

Kolaborasi rentas negara itu menghimpunkan tenaga kreatif dari Malaysia dan Indonesia dalam menghasilkan sebuah karya yang diharapkan mampu menyentuh hati pendengar di kedua-dua negara.

“Ramai mengenali saya sebagai usahawan tetapi jauh di sudut hati, saya masih seorang penyanyi. Dunia muzik adalah tempat saya bermula. Saya percaya sudah tiba masanya untuk kembali berkongsi karya dengan para peminat.

“Saya percaya setiap orang pernah menyimpan sesuatu dalam hati. Ada yang menyimpan cinta. Ada yang menyimpan impian. Ada yang menyimpan luka. Lagu ini saya dedikasikan kepada mereka yang masih percaya bahawa impian tidak pernah mempunyai tarikh luput,” kata wanita berusia 38 tahun itu.

Sementara itu, Tersimpan Dalam Hati merupakan single pertama daripada siri projek comeback Mila yang bakal diteruskan dengan beberapa karya baharu hasil kolaborasi bersama komposer dari Malaysia dan Indonesia.

Video muzik rasmi single itu turut menjalani penggambaran di luar kota Jakarta di bawah arahan pengarah Indonesia, Wahyu Taufani Prialangga.

Menariknya, Mila sendiri terlibat secara langsung dalam pembangunan idea dan konsep penceritaan video muzik tersebut, menjadikan karya itu lebih dekat dengan perjalanan emosi yang ingin disampaikan kepada para pendengar.

Selain itu, Mila turut mengumumkan dia kini sedang menyiapkan sebuah album baharu yang diterbitkan sepenuhnya oleh suaminya, Ailis Mustapha melalui Bizmedia Marketing.

Album tersebut dijangka menghimpunkan karya daripada beberapa komposer hebat Malaysia dan Indonesia serta dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast