Gambar tiga ekor gajah Dara, Amoi dan Kelat pada sidang media mendesak agar satu badan berkecuali dilantik bagi mengaudit Zoo PERHILITAN dengan kadar segera berkaitan tiga ekor gajah Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang dihantar ke Zoo Tennoji, Jepun ketika di Pusat Perniagaan Worldwide, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2026.

SHAH ALAM – Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia akan menghantar surat tuntutan kecemasan kepada kerajaan bagi menuntut tindakan tegas dan segera khususnya daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk membawa pulang tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini berada di Zoo Tennoji, Jepun.

Aktivisnya, Noraini Abd Khalil Saferi berkata, pihaknya telah mengemukakan surat tuntutan rasmi kepada kerajaan agar mengotakan janji untuk membawa pulang khazanah negara tersebut berikutan bukti kukuh pengabaian serta penderitaan fizikal dan mental yang dialami haiwan berkenaan.

“Ini isu pengabaian di mana DAK tidak mendapat kebajikan dan keselamatan sepanjang berada di sana.

“Kami faham, untuk bawa balik DAK ambil masa sekurang-kurangnya enam bulan, tetapi apa yang berlaku kepada DAK sangat-sangat menyedihkan.

“Kami bukan cakap kosong, tetapi tuntutan kami ini disertakan dengan bukti video yang dirakam setiap hari di zoo berkenaan.

“Kegagalan pihak berwajib mengambil tindakan susulan hanya memperlihatkan sikap lepas tangan terhadap kebajikan hidupan liar yang sepatutnya dilindungi.

“Sampai ke hari ini tiada sebarang laporan berkala mengenai perkembangan DAK, meskipun Perhilitan sebelum ini berjanji untuk mengeluarkannya,” katanya dalam satu sidang media.

Presiden Pertubuhan Konserversi Alam Malaysia, Prof Dr Santharasekaran Sunramaniam bercakap pada sidang media mendesak agar satu badan berkecuali dilantik bagi mengaudit Zoo PERHILITAN dengan kadar segera berkaitan tiga ekor gajah Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang dihantar ke Zoo Tennoji, Jepun ketika di Pusat Perniagaan Worldwide, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2026.

Katanya, berdasarkan pemantauan harian daripada orang awam di Zoo Tennoji Jepun mendapati gajah-gajah tersebut terdedah kepada cuaca, kurungan sempit yang merangsang perilaku zoochosis serta kualiti makanan dan air minuman yang amat tidak sihat.

“Saya pasti ramai sudah tahu mengenai kematian singa di zoo berkenaan, adakah kita mahu mendengar nashb yang sama terhadap DAK?

“Di Jepun waktu ini sedang mengalami musim panas. Lebih memburukkan keadaan, rakaman video berdurasi 155 jam yang disahkan oleh pakar gajah antarabangsa berkenaan insiden gajah terpaksa memakan jaring besi akibat tekanan, malah terdapat kes gading gajah yang patah akibat persekitaran yang tidak kondusif.

“Kami tidak menafikan Jepun memiliki teknologi yang canggih tetapi ia tidak sesuai dengan gajah-gajah, sebaliknya ia direka untuk kemudahan penjaga zoo yang takut kepada gajah, bukannya untuk kebajikan haiwan itu sendiri.

“Mahut (penjaga gajah) di sana takut dengan gajah, jadi semua perkara dilakukan dengan teknologi termasuklah pemberian makanan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, bukti video mendapati kualiti air, makanan dan keadaan habitat di sana tidak menunjukkan DAK akan berasa selesa.

“Musim begini, apakah jenis rumput yang diberikan, adakah ia cukup?

“Bagaimana dengan kualiti air di kolam?

“Video menunjukkan kolam sangat kotor dan tidak mustahil DAK akan terdedah kepada serangan bakteria.

“Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada ke Jepun dan sangat berbeza kolam ketika lawatan itu dengan sekarang.

“Dalam video ini menggambarkan kolam itu sudah lama tidak dibersihkan,” tambahnya.

Dalam pada itu, berkenaan penyerahan DAK yang didakwa menggunakan klausa pelupusan aset dan permit yang diragui, Noraini turut menggesa kerajaan menghentikan terus pengeksportan hidupan liar serta menyemak semula penyalahgunaan gajah sebagai pertunjukan hiburan dan tumpangan di fasiliti tempatan.

“Petisyen sokongan awam kini telah melebihi 180,000 tandatangan, namun masih tidak apa-apa tindakan daripada kerajaan.

“Kami mendesak kerajaan agar tidak terus membisu dan segera bertindak sebelum haiwan berkenaan mati di perantauan.

“Soalan saya kepada kerajaan, nak berapa banyak tanda tangan pada petisyen baru ada tindakan?

“Beritahu pada kami, 500,000 atau sejuta baru ada jawapan terhadap nasib DAK?” ujarnya lagi.

Jelasnya, surat tuntutan kecemasan itu yang akan dihantar minggu depan antara lain mahukan keselamatan dan kebajikan DAK terus terbela.

“Bulan Disember adalah musim sejuk di sana, apakah DAK akan terus terseksa?

“Semua tahu, habitat gajah adalah di hutan bukannya dalam bangunan konkrit.

“Melihat kepada video-video yang kami perolehi sudah cukup menggambarkan nasib DAK tidak terbela di sana,” katanya lagi.

Keadaan Dara yang memakan jaring tanpa ada pengawasan daripada mahut di Zoo Tennoji, Jepun.

Jelasnya, surat itu juga susulan pelbagai tindakan aktivis haiwan sebelum ini.

“Kami tak pernah berhenti berusaha, dari himpunan solidariti di hadapan Zoo Taiping, kemudian saudara Neow Choo Seong berlari dari Zoo Taiping menuju ke bangunan Parlimen hingga ada kenyataan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan, tapi itu semua seperti tiada apa-apa.

“Kami akan terus mendesak kerana DAK adalah hak Malaysia.

“Walaupun baru lima bulan di Jepun, kita sudah lihat kebajikan dan keselamatan DAK tidak terbela,” katanya lagi.

DAK ditempatkan di Zoo Tennoji yang terletak di Osaka, Jepun menerusi program kerjasama antarabangsa selama 25 tahun antara Zoo Taiping & Night Safari dan pihak Zoo Tennoji. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast