SHAH ALAM – Proses pembentukan fatwa di Selangor kekal berada di bawah bidang kuasa negeri dan tidak terjejas walaupun kerajaan negeri ditadbir secara berbilang kaum.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, setiap keputusan fatwa dibuat melalui proses penelitian Jawatankuasa Fatwa Negeri sebelum diperkenankan Sultan Selangor.
Beliau berkata, proses berkenaan turut mengambil kira pandangan pakar dalam pelbagai bidang menerusi sesi libat urus dan perbincangan bagi memastikan keputusan dibuat berdasarkan kepentingan umat Islam.
“Pakar-pakar ini akan dilibatkan dalam sesi libat urus dan perbincangan supaya satu sirah fatwa dapat diwujudkan bagi tujuan tersebut.
“Boleh jadi ada dalam kalangan mereka bukan Islam mengikut kesesuaian bidang kepakaran, tetapi selepas terbentuknya sirah fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, draf berkenaan akan diangkat untuk penelitian di peringkat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Menurut Mohammad Fahmi, selepas penelitian MAIS, sesuatu fatwa akan dipersembahkan untuk mendapat perkenan Sultan Selangor sebelum diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi tujuan makluman dan pewartaan.
“Tidak ada ruang walaupun kita mempunyai kerajaan yang bercampur dalam MMKN, fatwa itu dipertikaikan di peringkat negeri oleh bukan Islam dan bukan Melayu.
“Jadi tidak ada isu terancamnya fatwa agama Islam. Tidak ada,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, proses pembentukan fatwa di peringkat kebangsaan pula melibatkan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang berperanan menyelaras pandangan negeri-negeri dan bukannya mengeluarkan fatwa secara bersendirian.
Katanya, jawatankuasa tersebut dianggotai mufti negeri, bekas hakim, pakar perundangan serta tokoh agama berkaitan.
“Jawatankuasa Muzakarah MKI ini tidak akan mengeluarkan fatwa sendiri. Fungsinya hanya menyelaras dan tertakluk kepada perkenan Majlis Raja-Raja.
“Barulah boleh dikira fatwa di peringkat kebangsaan yang diangkat dari negeri-negeri,” jelasnya.
Mengulas mengenai proses penelitian fatwa, Mohammad Fahmi berkata, isu penggunaan ubat dialisis yang melibatkan bahan daripada sel ovari hamster Cina perlu dilihat berdasarkan aspek kemaslahatan umat Islam serta kepakaran perubatan, bukannya sentimen kaum.
Katanya, sesuatu fatwa perlu diputuskan secara objektif dengan mengambil kira keperluan dan kepentingan masyarakat.
“Bayangkan kalau ada pandangan perkauman yang tebal, mungkin akan timbul persoalan kenapa hamster Cina dan tidak ada hamster Melayu.
“Tetapi perkara itu perlu dilihat dari sudut kemaslahatan yang lebih luas, dan fatwa dibuat dengan penelitian sewajarnya dengan membenarkan penggunaan sel tersebut,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu. – MalaysiaGazette
















