Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika di Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2026 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 02 OGOS 2026.

SHAH ALAM – Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang akan dibentangkan esok bakal memberi tumpuan terhadap pembangunan ekonomi secara makro dan usaha merapatkan jurang pembangunan antara daerah.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan itu sejajar dengan usaha kerajaan negeri memperluas konsep kehidupan bermaruah sebagai penanda aras baharu dalam merangka dasar pembangunan dan pembasmian kemiskinan.

“Kehidupan bermaruah tidak hanya diukur berdasarkan angka pendapatan sebaliknya turut mengambil kira cara pendapatan itu dijana, akses kepada keperluan asas serta peluang penyertaan dalam ekonomi dan sosial.

“Apabila kita bercakap tentang kehidupan bermaruah, ada lima kerangka penting iaitu pendapatan dan pekerjaan mencukupi, perumahan selamat dan mampu milik, akses kepada kesihatan serta pendidikan berkualiti, jaringan keselamatan sosial dan persekitaran hidup yang selamat.

“Ia bukan sekadar melihat angka pendapatan, tetapi bagaimana pendapatan itu diperoleh dan memastikan rakyat tidak terpaksa melakukan perkara yang menjejaskan maruah diri semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)  Selangor di sini hari ini.

Jelas Amiruddin, kejayaan ekonomi Selangor tidak berdasarkan angka pertumbuhan semata-mata sebaliknya berdasarkan peningkatan kualiti hidup rakyat yang berteraskan konsep kehidupan wajar dan bermaruah.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, melalui RS-2 pencapaian ekonomi Selangor akan diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat berdasarkan keperluan di setiap daerah.

“Ini adalah satu anjakan yang penting. Di saat kita ingin merangka dasar dan program pembasmian kemiskinan, daripada hanya meletakkan garis kemiskinan sebagai satu kayu ukur kejayaan kepada kehidupan wajar atau kehidupan bermaruah.

“Sebelum ini pembasmian kemiskinan merupakan strateginya. Mereka kurang RM200 atau RM300 kita bantu dengan BINGKAS atau zakat. Itu menjadikan kadar kemiskinan tegar kita telah mencecah hanya sekitar 0.9 peratus ikut data ICU, kemiskinan relatif kita satu digit 8.5 peratus berbanding 12 peratus sebelum kita laksanakan.

“Tapi sekarang kita bukan nak tengok kadar kemiskinan itu, kita nak tengok kehidupan wajar dan kita akan pecahkan ikut daerah dan lokaliti. Inisiatif tambahan kerajaan negeri bukan hanya dengan sumbangan kewangan tetapi kemudahan dan peluang perniagaan serta sebagainya,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast