Gambar hiasan

ISU pemimpin parti meletak jawatan selepas krisis atau kekalahan perlu dibincangkan dari pelbagai sudut khususnya dari aspek akauntabiliti, legitimasi dan survival politik.

Ini kerana, secara prinsip serta praktis politik, peletakan jawatan sering menjadi mekanisma untuk menunjukkan parti itu mendengar isyarat rakyat dan bersedia melakukan pembaharuan.

1.  Akauntabiliti politik

Dalam sistem demokrasi berasaskan parti politik, pimpinan parti ialah wajah utama kepada strategi, naratif dan prestasi pilihan raya.

Jika parti kalah besar atau berdepan krisis serius, peletakan jawatan menjadi simbol bahawa kepimpinan mengambil tanggungjawab terhadap keputusan tersebut. Contoh pada tahun 2018, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN selepas kekalahan besar BN dalam PRU14.

Beliau menyatakan kebertanggungjawaban moral untuk berundur apabila parti yang dipimpin mengalami kekalahan.

2.  Ruang pembaharuan parti

Kekalahan pilihan raya biasanya dikaitkan dengan naratif parti yang tidak sampai, calon tidak diterima, jentera lemah, strategi kempen tidak berjaya, atau manifesto parti tidak lagi selari dengan kehendak pengundi.

Apabila pemimpin lama berundur, parti mempunyai ruang untuk melakukan post-mortem secara lebih jujur dan memilih kepimpinan baharu yang boleh membawa reformasi kepada struktur dalaman parti serta strategi gerak kerja.

Pada masa yang sama, perubahan kepimpinan juga membolehkan parti menyesuaikan diri dengan realiti politik semasa, termasuk perubahan landskap politik dan faktor mengundi, serta keperluan untuk membawa naratif yang lebih dekat dengan rakyat.

3.  Mengelakkan krisis dalaman berpanjangan

Jika pemimpin enggan berundur selepas kekalahan besar, parti boleh terperangkap dalam perbalahan dalaman, termasuk tuntutan reformasi dalaman, desakan akar umbi dan perebutan kuasa.

Keadaan ini boleh menjadi lebih rumit apabila wujud kelompok dalam parti yang mula mempersoalkan hala tuju kepimpinan, strategi pilihan raya dan kemampuan pemimpin sedia ada untuk memulihkan sokongan rakyat.

Peletakan jawatan secara teratur boleh mengelakkan krisis dalaman daripada menjadi lebih merosakkan, di samping membuka ruang kepada proses pembaharuan yang lebih tersusun dan diterima oleh ahli parti.

4.  Menukar kekalahan kepada pemulihan

Politik berkait rapat dengan persepsi, dan kekalahan besar biasanya memberi isyarat bahawa parti perlu membaca semula kehendak pengundi. Jika pemimpin kekal tanpa perubahan yang jelas, rakyat dan penyokong akar umbi mungkin melihat parti sebagai tidak responsif terhadap mesej penolakan tersebut.

Dalam keadaan ini, parti juga berisiko terus dibebani naratif negatif seperti manifesto yang tidak relevan, strategi yang gagal membaca sentimen, atau gerak kerja yang hilang arah. Pertukaran kepimpinan boleh membantu mengubah naratif itu kepada proses pembaharuan, sekali gus menunjukkan bahawa parti bersedia mendengar suara rakyat dan membina semula keyakinan awam.

Persoalannya, adakah pemimpin parti wajib meletak jawatan setiap kali kalah pilihan raya? Jawapannya bergantung kepada konteks kekalahan, skala penolakan pengundi, mandat dalaman parti dan ketersediaan pengganti yang berwibawa.

Dalam keadaan tertentu, kestabilan dan kesinambungan parti juga perlu menjadi pertimbangan utama, khususnya jika peletakan jawatan secara tergesa-gesa boleh mencetuskan kekosongan kepimpinan atau perpecahan dalaman.

Namun, jika pemimpin memilih untuk kekal, kepimpinan parti tetap perlu menunjukkan perubahan yang jelas melalui rombakan hala tuju, strategi, naratif kempen dan gerak kerja akar umbi bagi memastikan parti diterima rakyat pada masa akan datang.

Peletakan jawatan seharusnya tidak dilihat sekadar sebagai pengakhiran karier seseorang ahli politik, tetapi perlu diperhalusi sebagai sebahagian daripada cara parti mengurus isyarat pengundi.

Apa yang ingin dilihat oleh penyokong dan akar umbi ialah kesungguhan parti melakukan pembetulan dari segi struktur, naratif dan kepimpinan. Dalam konteks ini, pertukaran pemimpin boleh menjadi mekanisma penting untuk penggerak dan strategis parti membaca semula mesej rakyat, membina semula keyakinan awam, serta memastikan parti kekal relevan dalam landskap politik yang sentiasa dinamik.

———————-

Putri Noradyani Megat Hashim

Pengurus Media, Nusantara Academy for Strategic Research

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast