Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Mahadzir Elias menemui kesemua tahanan pengguna dan penyalahguna dadah dan bahan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Pahang, di sini hari ini

KUANTAN – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyeru mana-mana pihak terjebak dengan gejala penggunaan dan penyalahgunaan dadah dan bahan agar tampil secara sukarela bagi mendapatkan rawatan dan pemulihan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Mahadzir Elias berkata, ia bagi mengelakkan risiko dikenakan tindakan undang-undang yang mengakibatkan masa hadapan terjejas sekiranya mereka berjaya dikenalpasti dan ditahan.

“Seboleh-bolehnya kita di AADK tak mahu buat tangkapan, sebab akan mengganggu urusan mereka, keluarga dan kerjaya kerana melibatkan perundangan. Contoh kalau kakitangan kerajaan, mungkin berdepan Peraturan 7 yang boleh ditamatkan perkhidmatan.

“Yang kedua, pasti gelap masa hadapan lah sebab ada rekod tangkapan dadah. Jadi, tampillah secara sukarela agar kita boleh pulih dan kembali berfungsi dalam masyarakat,” katanya.

Dari kiri; Pengarah AADK negeri Pahang, Aman Mustapha; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Mahadzir Elias dan Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Hamizan Haidzir

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Pahang, di sini yang turun dihadiri Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Hamizan Haidzir dan Pengarah AADK negeri Pahang, Aman Mustapha.

Jelas Mahadzir, proses pemulihan bagi pengguna yang secara sukarela tampil kepada pihak AADK juga lebih tersusun dan tidak melibatkan tempoh yang lama berbanding pengguna yang dikenakan tindakan undang-undang arahan rawatan serta pemulihan.

“Ada pakej tertentu disediakan mengikut keadaan pengguna. Kalau pengguna baru terjebak, mungkin hanya memakan masa tiga bulan untuk pemulihan berbanding tempoh empat tahun bagi mereka yang ditahan dan perlu melalui perundangan.

“Selain itu, kita berpandangan mereka yang datang secara sukarela ni, motivasi mereka untuk berubah lebih tinggi.

“Itu yang kita nak highlight. Sebab masyarakat ramai belum nampak yang kerajaan telah menyediakan platform yang meluas untuk rawatan dan pemulihan selepas pindaan akta dilakukan,” jelasnya lgi.

Tambah Mahadzir, rawatan dan pemulihan secara sukarela ini dilaksanakan melalui Rawatan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) dan Rawatan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI).

Perkhidmatan itu juga katanya dilaksanakan secara selamat, rahsia, tanpa tindakan perundangan dan percuma, bagi memberi ruang kepada mereka yang ingin berubah dan membina masa depan yang lebih baik.

Sementara itu, Mahadzir berkata, AADK telah menahan 1,603 individu rakyat tempatan dan tiga warganegara asing menerusi Ops Cegah Khas yang dijalankan serentak di seluruh negara selama tiga hari bermula 4 Ogos lepas.

Daripada jumlah berkenaan, katanya seramai 1,209 individu membabitkan 1,153 lelaki dan 56 orang wanita berusia lingkungan 18 tahun hingga 67 tahun didapati positif dadah atau bahan.

Manakala 397 individu pula ditahan selepas didapati gagal hadir jamin di mana mereka pernah ditahan oleh pihak AADK sebelum ini tetapi ingkar arahan untuk hadir pada tarikh yang ditetapkan untuk tindakan selanjutnya.

“Kelompok yang paling ramai dikesan positif dadah adalah mereka yang berusia lingkungan umur 19 hingga 40 tahun iaitu seramai 716 orang (59.2 peratus) diikuti 41 tahun hingga 50 tahun iaitu 325 orang (26.9 peratus).

“Setiap kali kita lakukan operasi, kita dapati dadah yang paling dominan disalahguna oleh individu merupakan Methamphetamine iaitu 799 orang (66.1 peratus) diikuti Opiat atau heroin/morphine iaitu seramai 192 orang (15.9 peratus), Mitragynine atau ketum iaitu seramai 112 orang (9.3 peratus) dan Ganja iaitu 52 orang (4.3 peratus),” katanya.

Mahadzir berkata, kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Jelasnya, proses siasatan awal dilakukan dalam tempoh 24 jam selepas tangkapan sebelum mereka dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast