Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Langkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berhasrat membentuk pakatan baharu bersama parti lain menyaksikan keahlian parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) terbatal secara automatik.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu jelas dalam perlembagaan gabungan PN di mana mana-mana parti yang memutuskan untuk menyertai atau membentuk pakatan lain akan hilang keahlian.

“Dia sudah membuat kenyataan nak tubuh satu pasukan lain… automatik dia keluar. Tapi secara rasmi tak adalah, tak payah rasmi.

“Dia terkeluar dengan sendiri bila dia buat begitu. Ikut perlembagaan bila kita pergi ke lain, habislah,” katanya ringkas kepada media ketika ditemui media selepas kuliah pagi di Masjid Rusila, Marang, Terengganu hari ini.

Kenyataan berkenaan menyusul selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini memaklumkan parti berkenaan bakal membentuk gabungan baharu bersama beberapa parti lain merangkumi Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) seperti PUTRA dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Pas sentiasa konsisten dalam berusaha mewujudkan perpaduan Melayu-Islam serta menjaga hubungan dengan kaum lain demi keselamatan orang Melayu.

Abdul Hadi turut menyelar pendekatan kerajaan yang didakwa seolah-olah mahu menghukum dan menghina orang Melayu menerusi isu rasuah apabila tindakan penguatkuasaan dilihat hanya menumpukan serta menyenaraikan orang Melayu yang terlibat.

“Golongan bukan Melayu yang menjadi pemberi rasuah atau terlibat dalam aktiviti haram seolah-olah tidak dikenakan tindakan sewajarnya.

“Patutnya hukum orang yang beri rasuah itu iaitu orang bukan Melayu. Keadaan ini menghina orang Melayu… cari banyak-banyak muka orang Melayu yang rasuah,” katanya lagi.

Diminta mengulas mengenai hubungan dan perbincangan dengan UMNO menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Abdul Hadi menegaskan proses rundingan masih berjalan berikutan dinamik pemetaan kerusi Parlimen di negeri itu berbeza berbanding Negeri Sembilan atau Johor.

Pada masa sama turut berpuas puas hati terhadap struktur pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi pentadbiran Negeri Sembilan yang menyaksikan Pas menerima kuota sewajarnya.

“Ya, kita puas hatilah dengan pelantikan tersebut,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast