Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari bercakap pada media ketika meninjau keadaan litar pada lawatan kerja bagi persediaan penganjuran Grand Prix (GP) Bahrain di Sepang ke Litar Antarabangsa Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 30 JULAI 2026.

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menubuhkan lapan jawatankuasa kecil yang akan bermesyuarat setiap hari Selasa bagi memastikan segala persiapan penganjuran Formula Satu (F1) berjalan lancar.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, jawatankuasa itu diwujudkan bagi menyelaras pelbagai aspek termasuk keselamatan, protokol dan operasi menjelang penganjuran perlumbaan berprestij berkenaan.

“Kita ada tiga jawatankuasa iaitu jawatankuasa induk, jawatankuasa teknikal dan sekarang ini kita wujudkan lapan jawatankuasa kecil.

“Jawatankuasa di peringkat KBS akan bersidang setiap hari Selasa sehingga tarikh penganjuran F1 supaya kita memastikan segala kelancaran dari segi keselamatan, protokol dan sebagainya dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan Rakan Demokrasi: Kuasa Orang Muda di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini kerajaan telah mengeluarkan RM16 juta bagi persiapan penganjuran F1, manakala sebarang kos tambahan masih dalam peringkat perbincangan dan akan diumumkan selepas dimuktamadkan.

Beliau berkata, tempoh penutupan Litar Antarabangsa Sepang bermula 7 September pula adalah atas permintaan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Formula One Management (FOM) bagi membolehkan kerja penyelenggaraan, pemeriksaan, penambahbaikan serta sesi latihan dan ujian dijalankan.

Katanya, perbincangan antara Bahrain International Circuit (BIC) dan Sepang International Circuit (SIC) juga masih diteruskan bagi memperincikan beberapa perkara berkaitan penganjuran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast