Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Amirudin Shari.

SHAH ALAM – Nurul Izzah Anwar tidak pernah menyuarakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebaliknya hanya membangkitkan berhubung perkara itu beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Nurul Izzah kemungkinan membuat keputusan tersebut atas hal terdesak.

“Setakat kami berbincang, dalam tempoh dua tiga bulan ini, tidak ada lagi (Nurul Izzah mohon letak jawatan) sebab kami dan beliau berbincang mengenai persiapan pilihan raya dan sebagainya.

“Mungkin ada hal terdesak yang beliau perlu laksanakan sehingga mengambil keputusan itu,” katanya dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin meminta semua pihak memberi ruang dan masa kepada Nurul Izzah bercuti sementara waktu sambil mempertimbangkan keputusannya itu.

Semalam, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bersetuju memberikan cuti sementara kepada Nurul Izzah berkuat kuasa selepas Kongres Nasional 2026 di Melaka, minggu depan.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Nurul Izzah turut memaklumkan mahu mengundurkan diri daripada jawatan tersebut.

Susulan itu, Naib Presiden PKR yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memangku tugas Timbalan Presiden untuk sementara waktu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast