Seorang pekerja kilang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan, Muar, hari ini.

MUAR – Seorang pekerja kilang maut dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Ayer Baloi selepas terlibat kemalangan di kilometer 144.8 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan tersebut melibatkan mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun menunggang motosikal seorang diri pada pukul 8.15 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Ayer Baloi dari tempat kerjanya di Puncak Alam, Selangor.

“Mangsa dipercayai hilang kawalan ke atas motosikal yang ditunggang sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kiri dan terbabas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut mangsa tercampak ke dalam parit di sebelah kiri jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Katanya, pegawai perubatan yang hadir di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk proses bedah siasat.

“Sampel darah mangsa turut akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis kandungan dadah dan alkohol. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Justeru beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai trafik daerah atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast