KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang ahli perniagaan dan pengacara bebas selepas dipercayai terbabit dalam penerbitan sebuah rancangan bual bicara audio (podcast) yang menyentuh isu agama membabitkan elemen 3R (agama, raja dan kaum).
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an dan 60-an itu ditahan semalam, selepas pihaknya menerima laporan berhubung podcast itu pukul 11.54 pagi kelmarin.
Menurutnya, kandungan podcast berkenaan dipercayai membincangkan isu fahaman sekular dan liberal.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 298/504/505(b) Kanun Keseksaan selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambahnya, pihak polis akan menjalankan siasatan secara profesional, telus dan adil berhubung kes itu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan proses siasatan. – MalaysiaGazette
















